Cerita dongeng adalah sesuatu yang berbeza-beza mengikut budaya. Ada cerita yang bersifat universal (terdapat di dalam setiap budaya) tetapi wujud dalam pelbagai versi. Ada pula yang sememangnya hanya wujud dalam satu-satu masyarakat. Begitu juga di Malaysia; setiap bangsa, budaya, malah negeri, ada kisah-kisah rakyatnya yang tersendiri. Kisah-kisah sebegini diturunkan turun-temurun secara verbal & menyerikan kehidupan kanak-kanak kita.
Namun, apa akan berlaku jika cerita-cerita tersebut diolah semula agar berlatarbelakangkan suasana Malaysia abad ke-21? Bagaimana dengan watak-watak prolifik seperti Puteri Gunung Ledang, Bawang Merah, dan Mahsuri yang di'kontemporari'kan? Segala persoalan ini timbul selepas saya membeli satu koleksi cereka rakyat Malaysia yang ditulis semula ke dalam bahasa Inggeris & diolah sebahagian (atau keseluruhan) jalan ceritanya. Buku itu berjudul Malaysian Tales: Retold & Remixed.
Berharga RM33 (di MPH MidValley), ia merupakan sebahagian daripada bahan bacaan yang saya tebus dengan sehelai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) beberapa minggu yang lalu. Buku ini mengandungi 16 buah cerita rakyat yang ditulis semula oleh 16 penulis muda Malaysia.
Apa yang saya boleh katakan, sebahagian cerita rakyat yang termuat di dalam buku ini telah mengalami proses remix yang agak ketara sehingga jalan ceritanya juga berubah. Ada pula yang dibiarkan tidak terusik, & ada pula yang hanya diubah latar masanya. Namun, ada beberapa kisah yang saya rasa terlalu ekstrim pengolahannya.
Antara kisah yang agak melampau olahannya ialah The Last Voyage, yang berkaitan dengan pelayaran terakhir Laksamana Cheng Ho. Seperti yang kita ketahui, beliau merupakan antara individu penting dalam hubungan perdagangan Melaka-China pada abad ke-15. Namun dalam versi remix ini, Cheng Ho digambarkan sebagai seorang yang ada kecenderungan cinta terhadap gender yang sama (you know what I mean, right?). Gambaran yang dibuat ke arah itu agak meng-"urgh!"-kan, & sememangnya lari daripada kisah yang asal. Satu lagi kisah yang agak pelik olahannya ialah Raja Bersiong. Nak dipendekkan cerita, dalam buku ini Raja Bersiong digambarkan sebagai Edward Cullen versi Malaysia. Need I say more?
Namun jangan risau, ada beberapa olahan kisah lain yang menjana & mencabar pemikiran intelektual kita seperti The Boy Who Saved Singapura (kisah Hang Nadim), Trick or Tree (hikayat Sang Kancil & Buaya), serta The Gift (kisah Puteri Hang Li Po). Tak lupa juga, saya amat sarankan buku ini jika anda ingin menambah kosa kata BI, sebab saya jumpa 346 perkataan baharu di dalamnya. So let's give it a try, shall we?
Tuntasnya, membaca itu amalan mulia. Tak kisahlah apa pun yang dibaca, asalkan ia membina minda kita ke arah yang lebih baik. Kalau setakat nak baca Lawak Kampus tu tak ada masalah, tapi cukup sekadar bahan sampingan sahaja OK? Apa yang penting, sebagai generasi muda, jom penuhkan ilmu di dada sebagai bekalan untuk memimpin masa hadapan. Chao.