Hello...
Baiklah, daripada tajuk 'blog post' ini sendiri, pertanyaannya sudah jelas: Ada apa dengan 8/8?
Tarikh 8 Ogos (8/8) menjadi saksi kepada beberapa peristiwa penting, termasuklah upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik ke-29 di Beijing pada 2008.
Namun, perkara lebih menarik yang ingin saya kongsikan di sini ialah signifikasi tarikh itu dengan sambutan Aidilfitri, serta kaitannya dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seniman agung negara.
Alright, are you ready for this?
- 8 Ogos merupakan jangkaan tarikh hari pertama Aidilfitri pada tahun ini (2013).
- 8 Ogos juga merupakan tarikh hari pertama Aidilfitri bagi tahun 1948.
OK, mungkin pertembungan tarikh di situ sedikit unik, tetapi agak 'biasa-biasa' pada pandangan anda, bukan? Think again.
Pada 8 Ogos 1948, P. Ramlee meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kereta api pada pagi lebaran setelah ditawarkan oleh BS Rajhans untuk bekerja di studio Jalan Ampas, Singapura. Hal ini menjadikan beliau & sahabat karibnya, Allahyarham Sukardi beraya di dalam kereta api serta melihat panorama Aidilfitri di sepanjang laluan kereta api itu, dari Butterworth hinggalah ke Tanjong Pagar.
Ha, apa pula signifikan di situ? Cuba bayangkan, jika P. Ramlee nekad ingin kekal di Pulau Pinang & menolak tawaran oleh BS Rajhans pada tarikh 8 Ogos 1948 itu, barangkali tidak akan lahir seorang legenda yang meninggalkan legasi penuh berharga. Hal ini kerana bermula daripada tawaran itulah, P. Ramlee memulakan kembaranya sebagai seorang anak seni yang sehingga hari ini tiada tolok bandingnya.
Jadi, apa yang boleh saya simpulkan di sini? Daripada kisah raya P. Ramlee itu, terselit suatu pengorbanan yang smibolik demi kehidupan yang lebih baik. P. Ramlee meninggalkan nuansa raya bersama ibu bapanya semata-mata untuk ke Singapura. Akhirnya, nama beliau kekal menjadi legenda ulung industri seni negara.
Mungkin juga lagu Dendang Perantau yang beliau alunkan menjadi ekspresi melankolik beliau yang menjiwai semangat Aidilfitri hanya di dalam kereta api. Siapa tahu, kan? Jadi, saya sertakan lagu itu di bawah ini untuk kita sama-sama hayati.
Wassalam.