Rabu, 21 November 2012

"Play Your Part!"

Assalamu'alaikum, semua... :-)

Baiklah, dalam masa yang terhad ini, izinkan saya berkongsi pengalaman tentang kunjungan saya sekeluarga ke tarikan terbaharu di Nusajaya, Johor. Tak lain tak bukan, mestilah Legoland Malaysia...!
Apa-apa pun, nasihat saya kepada sesiapa yang nak ke sini: Kalau boleh, anda perlu berada di pintu masuk ini selepas Subuh. Sebabnya? Yalah, menjelang bermulanya waktu operasi (10 pagi), akan ada barisan menunggu yang amat panjang. Nak beli tiket pun mengambil masa hampir sejam. Fuh!

Baiklah, saya langkaukan sajalah bab nak beli tiket tu; jom terokai Legoland. Secara ringkasnya, taman tema antarabangsa pertama di Malaysia ini berkeluasan kira-kira 30.4 hektar (besarnya!) & terbahagi kepada 7 seksyen/bahagian.

Bahagian #1 ialah 'The Beginning', yang merangkumi pintu gerbang, kaunter tiket, pusat khidmat pelanggan, & kedai cenderamata. Biasa-biasa saja.

Bahagian #2 ialah Lego City. Di sini, kanak-kanak akan dapat merasakan pengalaman menjadi orang dewasa dengan memandu kereta mini & kapal terbang mini. Di Rescue Academy, saya & adik-beradik yang lain berpeluang menjadi ahli bomba untuk memadamkan 'kebakaran' yang berlaku. Memang best, walaupun agak mengah jugalah untuk mengepam kereta bomba itu.

Baiklah, seksyen #3 ialah Land of Adventure. Seksyen ini membawa pelawat seakan-akan berada di dalam filem Cleopatra dengan suasana ala-ala Mesir.
Di seksyen ini pula, permainan yang saya sekeluarga cuba ialah Lost Kindom, yang memerlukan kami untuk menembak 'musuh' di dalam gua menggunakan laser. Saya sibuk mengambil gambar, & itu sebab markah tembakan saya ialah 0. *hihi*

Moving on. Seksyen #4 ialah Imagination. Kawasan ini memungkinkan kanak-kanak kecil hinggalah orang tua untuk bersantai sambil melihat rekaan Lego yang mengagumkan, termasuklah air pancut muzikal Lego.
Di sini, aktiviti keluarga yang saya lalui ialah menonton tayangan filem pendek Lego dalam versi 4-D. Bukan setakat nampak timbul, malah efeknya turut dirasai secara langsung. WOW! Selain itu, ada juga aktiviti lain yang ada, termasuklah taman permainan.

Melangkah masuk ke seksyen #5 iaitu Lego Kingdoms, saya rasa bagai berada di dalam dunia 'Merlin'. *haha* Suasana ala-ala kawasan Inggeris kurun ke-16 membuat saya rasa seperti berada di luar negara.
.
Permainan utam di sini ialah 'roller-coaster' The Dragon. Inilah pertama kali saya menaiki permainan sebegini, & harus saya katakan "it was AWESOME!". Sepanjang berada di dalamnya, jeritan penuh keterujaan keluar dari dalam diri. Begitu jelas deruman adrenalin. Woohoo!

Jom masuk seksyen #6 iaitu Miniland. Inilah seksyen yang paling saya nantikan untuk lawati, sebab kawasan ini menempatkan replika pelbagai bangunan terkenal di Asia & dibina menggunakan lebih 30 juta blok Lego serta mengikut skala 1:20. Cantik!
Model bandar raya Johor Bahru dibina dengan cukup kemas & tersusun, serta nampak seolah-olah nyata. Pujian harus saya berikan kepada anak Malaysia yang bekerjasama dalam membina model ini. Dataran bandar raya, Legaran Segget, & Pelabuhan Tanjung Pelepas nampak begitu comel dalam bentuk Lego.
.
 .
Turut tidak ketinggalan, model bandar raya Singapura yang dibina bersebelahan, sama seperti dalam peta.
Antara tarikan lain yang menambat hati di seksyen ini ialah model manusia Lego yang melakukan sesuatu perkara apabila butang interaktif ditekan, seperti penari Bollywood Lego ini. Nice!
Memandangkan Legoland di Nusajaya ini adalah pertama di Asia, jadi ada juga kawasan untuk model bangunan terkenal di Asia, seperti Taj Mahal di India & Kota Larangan di Beijing.
 .
Tak lupa juga, status Malaysia sebagai negara ASEAN membolehkan replika tempat terkenal dari 10 negara rantau ini untuk berada bersama, seperti Masjid Sultan Ali Omar Saifudin di Brunei.
Meneruskan kembara di seksyen ini, saya ke 'KLIA' pula. Model pesawat & aerotren yang bergerak sememangnya best.
Kemudian, saya menyusuri 'Kuala Lumpur'. Jika dilihat betul-betul di pekarangan 'Suria KLCC', anda dapat perhatikan ada model manusia Lego sedang ber-'Gangnam Style' di situ. Sempat lagi, ya? *haha*
Amat cantik pembinaan model Lego ini. Segalanya nampak seperti bangunan asal. Model Menara Berkembar Petronas ialah model Lego tertinggi di dunia. Apa-apa pun, panorama 'Dataran Merdeka', 'Masjid Jamek' serta kawasan retro di 'KL' memang mengasyikkan.
 .
 .
 .
Tak habis lagi kisah di Miniland ini. Next stop: 'Putrajaya'. Kalau secara realitinya Putrajaya memang nampak indah, di Miniland pun macam itu juga. Perincian yang begitu cantik dibuat pada 'Masjid Putra', 'Dataran Putra' dan 'Perdana Putra'.
 .

OK, finally. Seksyen #7 (yang terakhir) ialah Lego Technic. Tengok nama pun dah menggambarkan suasana yang agak futuristik & penuh kecanggihan.
Tarikan utama di sini: Project X (satu lagi 'roller-coaster'). Namun sayang, saya tak dapat nak menaikinya kerana barisan menunggu yang amat panjang & cuaca yang dah nak hujan.
Di seksyen ini juga ada kios makanan iaitu Robot Kitchen. Ha, bercakap pasal makanan, tak payah risau; semua kios makanan di Legoland Malaysia ini adalah HALAL. Cuma yang menjadi sedikit 'konflik' ialah harganya. Bayangkan, satu karipap ayam saja dah berharga RM 3 *huhu*. Kalau diikutkan, makanan luar dilarang di sini, tetapi saya cadangkan kalau ramai sangat pelawat, bawa sajalah apa-apa makanan dari luar, sebab petugas di situ memang takkan ada masa untuk buat pemeriksaan ke atas beg anda; jimat sikit kos.
Akhir sekali, jangan lupa singgah ke kedai cenderamata untuk meninjau sahaja barangan di sana. Kenapa saya cakap macam itu? Sebab yang sama saya ceritakan pasal makanan tadi. Faham-faham sahajalah. Namun, banyak barangan di sini yang memang menarik perhatian.
Oh ya, nak diceritakan juga ni. Semasa saya sekeluarga makan di The Café (hujan pada masa itu), ada seorang pelancong Korea tiba-tiba membuat aksi ini di luar restoran itu semasa hujan:
Mungkin dia dicabar oleh rakan-rakannya, berdasarkan pemerhatian saya. Namun, saya rasa lelaki ini ada masalah mental sikit *LOLz*.

Hah! Habis pun coretan saya yang satu ini. Memang panjang. AApa-apa pun, saya harap ini bukan kali pertama & terakhir saya ke Legoland Malaysia. Andai diberi rezeki, saya akan ke sini bersama rakan-rakan pula untuk menepati slogan taman tema ini: "Mainkan peranan anda!" Wassalam. ;-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan