Assalamualaikum, semua...
Apa khabar? Harap-harapnya sihat sejahtera. Baiklah, kali ini, biar saya ceritakan pengalaman yang saya tempuhi sewaktu mengikuti progam pengantarabangsaan ke Jogjakarata dan Solo di Indonesia pada 19 hingga 23 Oktober yang lalu. Mungkin 'blog post' kali ini agak dan amat panjang. So, fasten your seatbelt!
19
OKTOBER 2011
2.00 pagi
Kesemua pelajar yang
menyertai lawatan ini berkumpul di hadapan dewan makan sebelum memulakan
perjalanan menaiki bas sekolah. Sepanjang perjalanan, tiada apa-apa aktiviti yang
dilakukan oleh para pelajar dan guru, melainkan hanyalah melelapkan mata dan
cuba untuk merehatkan badan sebelum menempuh perjalanan jauh melalui jalan
udara pula.
5.15 pagi
Rombongan kami tiba
di Terminal Pengangkut Tambang Murah (LCCT), Sepang. Walaupun baru dinihari,
tetapi suasana di sana sudah mula kelihatan sibuk dengan lautan manusia mula
memenuhi terminal terbabit. Selepas menunaikan solat Subuh di surau
berhampiran, kami berkumpul untuk pembahagian tugasan berkenaan tiket
penerbangan serta barangan berkaitan.
Seusai urusan
terbabit, para ahli rombongan dibenarkan untuk melakukan aktiviti
masing-masing, sama ada bersarapan atau pun menguruskan penukaran mata wang
Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia. Ada antara pelajar yang berkata
bahawa mereka hanya akan membuat penukaran tersebut setibanya di Solo,
Indonesia. Sebelum menuju ke balai pelepasan, semua ahli rombongan bergambar
bersama-sama sebagai tanda ingatan sesama mereka.
10.00 pagi
Para ahli rombongan
mula menaiki pesawat Air Asia sementara menunggu pesawat itu untuk berlepas
pada jam 10.25 pagi. Sebilangan besar ahli rombongan berasa teruja kerana ini
merupakan kali pertama bagi mereka untuk menjejakkan kaki ke dalam pesawat
serta menaiki penerbangan antarabangsa. Sebaik sahaja pesawat berlepas, ada
antara pelajar yang berasa tidak selesa dengan perubahan altitud yang berlaku
di dalam pesawat. Mujurlah sepanjang perjalanan, tidak kelihatan walau seorang
pun pelajar mahu pun guru yang tidak sedarkan diri sepanjang berada di dalam
pesawat tersebut.
12.45 tengah hari
Pesawat yang dinaiki
akhirnya tiba di Lapangan Terbang Adi Suemarmo, Solo, Indonesia. Kebanyakan
ahli rombongan tidak menyedari perjalanan yang memakan masa kira-kira 2 jam 20
minit itu kerana terlelap ketika di dalam pesawat. Sebaik sahaja selesai menguruskan
hal-hal berkaitan bagasi dan juga pemeriksaan imigresen, rombongan kami
disambut oleh Puan Fitri Miswati selaku wakil agensi pelancongan yang
menguruskan lawatan kami ke Solo dan Jogjakarta. Sepanjang perjalanan menaiki
bas yang disewa khas, kami disertai oleh Cik Wulan selaku jurupandu yang
memberikan penerangan mengenai sejarah Solo serta tempat-tempat menarik yang
terdapat di situ. Kami berasa terhibur mendengar keletah Cik Wulan, membuatkan
rasa letih kami seakan-akan hilang begitu sahaja.
1.45 petang
Kami tiba di sebuah
restoran berdekatan bagi menikmati makan tengah hari. Ada antara ahli rombongan
yang tidak begitu berselera kerana masih kekenyangan selepas menikmati makanan
di dalam pesawat sebelum itu. Namun begitu, ada pelajar yang segera beratur
untuk mendapatkan makanan kerana sudah berasa lapar. Sewaktu makan, para
pelajar memberi pandangan terhadap masakan yang berunsurkan Melayu Indonesia
itu. Pada hemat mereka, kebanyakan lauk yang tersedia kurang berkuah, tidak
seperti yang biasa mereka nikmati di Malaysia, manakala nasinya pula agak
kering. Namun, hal demikian tidak menghalang mereka untuk terus menikmati
juadah yang disediakan.
2.15 petang
Seusai makan,
rombongan meneruskan perjalanan ke Masijd al-Muttaquun bagi menunaikan solat secara
jamak dan qasar. Setibanya di sana, kami menyelesaikan segala urusan yang
penting terlebih dahulu sebelum berehat seketika di pekarangan masjid.
Sesetengah ahli rombongan tertarik dengan gerai-gerai kecil yang didirikan oleh
penduduk tempatan yang menjual pelbagai barangan, termasuklah makanan serta
kraf tangan. Namun, bagi mereka adalah terlalu awal bagi membeli cenderamata
untuk dibawa pulang kerana bagi mereka ada banyak lagi destinasi yang hendak
dikunjungi nanti.
6.00 petang
Perjalanan
diteruskan dan rombongan tiba di Muzium Gunung Merapi yang terletak di kaki
gunung terbabit. Kami bernasib baik kerana muzium itu masih dibuka sedangkan
masa operasinya berakhir pada jam 6.30 petang. Sebaik sahaja melangkah masuk ke
dalam muzium itu, kami terus dibawa ke bilik tayang bagi menyaksikan
persembahan multimedia berkenaan dengan kehidupan masyarakat di sekeliling
Gunung Merapi serta penyelidikan yang dilakukan terhadap gunung tersebut.
Selepas itu, kami
dibawa meninjau ke sekeliling kawasan muzium bagi melihat dengan lebih dekat
struktur sebenar gunung berapi, kejadian letusan lahar dan juga kesan yang
dibawa. Terbit rasa syukur dalam hati kerana dapat hidup di negara yang tidak
berdepan dengan ancaman sedemikian. Pada masa yang sama, lensa kamera kami
tidak putus-putus mendekati pelbagai imej untuk dirakam dan disimpan sebagai
memori berharga kelak. Setelah puas mengelilingi seluruh kawasan muzium, kami
menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya bagi menikmati makan malam.
7.15 malam
Kami tiba di sebuah
restoran di pinggir bandar Jogjakarta bagi menjamu selera pada waktu malam.
Restoran yang berkonsepkan makanan Padang itu menyajikan pelbagai makanan yang
pastinya membuka selera kebanyakan ahli rombongan pada masa itu. Suasana meriah
dapat dilihat tatkala para pelajar berbual-bual antara satu sama lain tentang
perjalanan mereka pada hari itu. Selepas makan, kesemua ahli rombongan menaiki
bas untuk bertolak ke Hotel Whiz yang menjadi lokasi penginapan pada hari
pertama lawatan. Selepas selesai pembahagian kunci bilik pada jam 8.30 malam,
para pelajar dan guru bergerak menuju ke bilik masing-masing bagi merehatkan
diri.
20
OKTOBER 2011
7.30 pagi
Sebelum memulakan
perjalanan untuk hari kedua, ahli rombongan bersarapan terlebih dahulu. Makanan
yang dihidangkan cukup memuaskan dan menjadikan kami tidak sabar-sabar untuk
mula mnjelajah ke tempat-tempat yang akan dilawati nanti. Selepas mendaftar
keluar dari hotel, para pelajar dan guru menaiki bas untuk ke destinasi pertama
pada hari tersebut: SMAN 3 Jogjakarta.
9.45 pagi
Kami
tiba di sekolah tersebut dan disambut oleh guru-guru serta beberapa wakil
pelajar yang telah menunggu dari jam 8.30 pagi lagi. Sementara menanti ketibaan
Pengetua Kanan SAMURA, Tn. Hj. Samian bin Sawiyo ke sekolah itu, kami dibawa
meninjau ke sekeliling sekolah tersebut bagi melihat dengan lebih terperinci
sistem pengajaran dan pembelajaran yang pastinya turut menjadi amalan
sekolah-sekolah lain di Indonesia.
Kami
dapat merasakan suasana yang cukup tenang tatkala melihat rimbunan pokok-pokok
menghiasi persekitaran sekolah ini. Pekarangan sekolah yang luas turut menjadi
lokasi bagi sesetengah pelajar dan guru sekolah itu untuk mengadakan kelas,
lebih-lebih lagi bagi subjek berkaitan bahasa seperti bahasa Inggeris dan
bahasa Jepun. Suatu perkara yang membuat kami tertarik dengan sekolah itu
adalah sistem kehadiran pelajarnya yang disemak berdasarkan imbasan cap jari,
seperti yang kita dapat lihat di kompleks-kompleks pentadbiran di Putrajaya
umpamanya. Begitu canggih sekali kaedah yang digunakan bagi memastikan
kehadiran pelajar sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.
Kami
juga berasa terhibur apabila ada segelintir pelajar SMAN 3 Jogjakarta ini yang
sudi membuat persembahan secara ringkas di hadapan kami, lebih-lebih lagi
ketika kami melawat kelas seni budaya serta kelas muzik di situ. Sesungguhnya,
kami dapat melihat banyak bakat yang terpendam di sekolah ini, lantas membuat
kami berasa lebih kagum dengan kemajuan pembangunan modal insan di sini,
walaupun bangunan sekolah itu sudah hampir berusia seabad. Kadang kala, kami
tertawa melihat keletah mereka beraksi di hadapan kami.
Kami
juga sempat meluangkan masa untuk masuk ke dalam makmal yang digunakan bagi
subjek Sains seperti Biologi, Kimia dan juga Fizik. Ternyata walaupun berada
dalam keadaan yang agak usang, namun kemudahan yang sedia ada masih terpelihara
dengan baik. Lawatan ke sekitar sekolah terbabit menambahkan pengetahuan kami
tentang perjalanan pelajar di sekolah itu, ditambah pula dengan penerangan
daripada pelajar sekolah itu sendiri yang menjadi jurupandu kepada kami.
11.15 pagi
Setibanya Tn. Hj.
Samian ke SMAN 3 Jogjakarta, para ahli rombongan dibawa ke bilik seminar bagi
majlis rasmi sempena mengalu-alukan kehadiran kami ke situ. Selain daripada
ucapan daripada Tn. Hj. Samian serta wakil dari sekolah itu, kami juga turut
disajikan dengan persembahan daripada pasukan koir SMAN 3 Jogjakarta, serta
pasukan zapin SAMURA. Tayangan multimedia daripada kedua-dua sekolah turut
diadaakan. Selepas upacara menandatangani perjanjian persefahaman serta
pertukaran cenderamata, ahli rombongan bersama-sama mengambil gambar sebagai
tanda kenang-kenangan. Ada antara pelajar SAMURA yang turut bertukar-tukar
alamat e-mel dengan pelajar sekolah itu. Selepas itu, para ahli rombongan
kembali ke bas untuk bergerak ke lokasi lawatan yang seterusnya.
Sesungguhnya,
lawatan ke SMAN 3 Jogjakarta merupakan suatu pengalaman yang amat unik dan
meluaskan horizon pemikiran kami semua. Ternyata, banyak yang telah kami
pelajari dari mereka dan mereka juga pasti memikirkan perkara yang sama. Semoga
lawatan tadi dapat membantu kami untuk menyiapkan diri bagi menjadi insan yang
cemerlang pada masa hadapan. Andai diizin tuhan, kami akan berkunjung lagi ke
sekolah itu.
Kemudian,
kami singgah ke restoran Bumbu Desa di bandar Jogjakarta bagi menjamu selera
pada tengah hari tersebut. Rata-rata guru dan pelajar memuji keenakan dan
kelazatan makanan yang dihidangkan di situ.
2.30 petang
Kami
tiba di Universiti Gadjah Mada yang menjadi lokasi lawatan kami seterusnya.
Sebelum itu, kami singgah di masjid kampus universiti berkenaan bagi menunaikan
solat. Selepas itu, kami bergegas menuju ke Fakulti Perubatan universiti itu
bagi mendengar sesi taklimat berkaitan pemilihan pelajar serta bidang kursus
yang ditawarkan di fakulti tersebut. Ramai pelajar dilihat menumpukan perhatian
terhadap penerangan tersebut kerana mereka sememangnya berazam untuk
melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Selepas itu, Tn. Hj. Samian
menyampaikan sedikit ucapan ringkas yang turut disertakan dengan kata-kata
penghargaan kepada pihak fakulti kerana sudi menerima rombongan dari SAMURA.
Upacara pertukaran cenderamata turut mengambil tempat.
4.30 petang
Seterusnya,
kami dibawa melawat pusat praktikal fakulti terbabit bagi meninjau dengan lebih
dekat cabaran yang dihadapi oleh para siswa dan siswi bagi memantapkan ilmu
perubatan moden mereka. Kehadiran petugas pusat tersebut selaku jurupandu
memudahkan kami untuk lebih memahami setiap aspek yang ada di situ. Banyak
pertanyaan yang dikemukakan oleh para pelajar bagi membantu mereka menjadi lebh
faham akan Di sini, kebanyakan pelajar
sering mengaitkan hasil tinjauan mereka dengan subjek Biologi yang dipelajari
di sekolah. Jelas sekali, banyak informasi yang diperoleh membantu para pelajar
bagi membuat perancangan pada masa hadapan.
6.15 petang
Destinasi
lawatan kami yang seterusnya ialah pusat pembuatan barangan perak yng terletak
di pinggir bandar Jogjakarta. Lawatan singkat itu sudah cukup bagi ahli
rombongan untuk mendekati proses penghasilan kraf tangan perak dari permulan
sehingga ke kemasan terakhir. Terpuaku kami buat seketika apabila melihat hasil
barangan perak yang dipamerkan memiliki nilai estetika yang cukup tinggi. Namun
begitu, kekangan masa dan harga membantutkan hasrat beberapa ahli rombongan
untuk membeli ceneramata perak yang dijual di situ.
6.45 petang
Kami terus berjalan
kaki ke sebuah restoran berhampiran untuk makan malam. Kami agak terperanjat
dan tidak menyangka sama sekali bahawa restoran itu kelihatan amat mewah. Pada
kesempatan itu, kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan panorama indah
restoran tersebut yang pasti akan diingati sampai bila-bila. Makanan yang
dihidangkan juga setanding dengan hiasan restoran itu yang cukup indah.
8.15 malam
Kami
tiba di lokasi penginapan pada hari kedua dan ketiga iaitu Hotel Abadi.
Lokasinya yang strategik membuatkan ramai dalam kalangan ahli rombongan ingin
segera menukar pakaian dan dan berjalan-jalan di kawasan sekitar. Selain ingin membeli
tanda kenang-kenangan untuk diberikan kepada insan tersayang, ada juga yang
ingin membuat penukaran mata wang Ringgit kepada Rupiah.
Destinasi
utama yang menjadi pilihan para ahli rombongan ialah Jalan Malioboro yang
terletak tidak sampai 750 meter dari hotel. Jalan tersebut amat terkenal
sebagai salah satu daya penarik utama pelancong ke Jogjakarta. Pelbagai kraf
tangan tempatan dijual dengan harga yang begitu berpatutan. Kebanyakan daripada
kami menjadi rambang mata apabila melihat terlalu banyak pilihan barangan untuk
dibeli. Selain kawasan Jalan Malioboro, ada juga ahli rombongan yang ke Mal
Malioboro di jalan yang sama bagi tujuan yang sama.
Pada akhirnya,
kebanyakan ahli rombongan hanya membeli sedikit cenderamata kerana kebanyakan
kedai sudah tutup dan mereka juga sudah kepenatan. Ahli rombongan yang ke Jalan
Malioboro pulang ke hotel pada jam 10.30 malam dan pulang ke bilik
masing-masing bagi melepaskan lelah.
21
OKTOBER 2011
7.30 pagi
Para
ahli rombongan memulakan kembara untuk hari ketiga dengan bersarapan terlebih
dahulu di kafeteria hotel. Rata-rata guru dan pelajar kelihatan agak bertenaga
dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Setelah
semuanya bersarapan, bas yang membawa ahli rombongan bertolak pada jam 8.00 pagi
menuju ke lokasi lawatan yang pertama untuk hari itu, iaitu SMA Taruna
Nusantara, sebuah sekolah persendirian yang terletak di wilayah Magelang.
9.45 pagi
Akhirnya
tiba di sekolah yang dimaksudkan. Sebelum itu, kami dimaklumkan bahawa sekolah
berkenaan adalah serupa seperti Maktab Tentera DiRaja di Malaysia. Dalam erti
kata lain, SMA Taruna Nusantara ialah sekolah yang menjurus ke arah menyediakan
bakal-bakal anggota pasukan keselamatan, terutamanya tentera. Ketibaan kami
disambut dengan meriah oleh guru-guru dan para pelajar sekolah terbabit. Kami
dibawa ke sebuah dewan mini bagi mengikuti majlis rasmi sempena mengalu-alukan
kunjungan kami ke situ. Ucapan alu-aluan daripada wakil sekolah itu membuka
tirai majlis tersebut.
Sepanjang majlis
itu, beberapa buah persembahan menyerikan suasana. Para pelajar sekolah itu
banyak memberikan pertunjukan kebudayaan yang amat mengagumkan, seperti
angklung. Selain itu, beberapa tarian tradisional masyarakat Jawa turut
dipersembahkan turut memukau perhatian para hadirin. Persembahan tersebut
melambangkan kesungguhan pelajar-pelajar di sekolah ini untuk mempertahankan
warisan budaya bangsa mereka daripada lenyap ditelan zaman. Pada masa yang
sama, pasukan zapin SAMURA turut membuat persembahan bagi memperkenalkan tradisi
masyarakat Malaysia. Hadirin juga dipersembahkan dengan tayangan multimedia
daripada kedua-dua sekolah. Selepas itu, berlangsung upacara menandatangani
perjanjian persefahaman antara kedua-dua belah pihak dan juga penukaran
cenderamata.
11.15 pagi
Selepas
itu, ahli rombongan dibawa meninjau ke sekitar kawasan sekolah yang cukup luas
itu. Berdasarkan pemerhatian kami, segala kemudahan yang terdapat di situ
adalah amat maju. Satu perkara yang harus diakui ialah sesetengah fasiliti yang
ada di sekolah itu adalah jauh lebih baik daripada apa yang ada di SAMURA. Oleh
itu, pengalaman bersama para pelajar SMA Taruna Nusantara digunakan sepenuhnya
oleh pelajar-pelajar SAMURA untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai usaha
penambahbaikan diri mereka.
Para
pelajar kelihatan begitu kagum apabila dapat mendekati pesektiaran sekolah itu
dangan lebih mendalam dan melihat perjalanan proses pembelajaran di sana.
Ketika berada di kedai koperasi sekolah itu, pelajar dan guru sempat meluangkan
masa membeli cenderamata eksklusif sekolah itu untuk dibawa pulang. Setelah
puas berjalan-jalan mengelilingi sekolah itu, para pelajar singgah sebentar ke
dalam beberapa kelas bagi menyampaikan cenderamata dari SAMURA kepada
pelajar-pelajar sekolah itu. Ada pelajar juga sempat bertukar-tukar alamat
e-mel untuk berhubung kemudian. Setelah segalanya selesai, ahli rombongan
menaiki semula bas sebelum meninggalkan SMA Taruna Nusantara.
Sesungguhnya,
lawatan ke sekolah ini telah banyak membantu mengubah persepektif kami terhadap
sistem pendidikan di Indonesia. Dalam satu aspek, mungkin mereka agak
ketinggalan daripada kita di Malaysia, tetapi dalam aspek yang lain pula,
mereka sudah berada jauh di hadapan. Oleh yang demikian, lawatan ini
menyedarkan kami bahawa sikap bantu-membantu merupakan antara aspek terpenting
bagi memastikan kelangsungan pendidikan di SAMURA terutamanya sentiasa berada
dalam keadaan yang terbaik pada setiap masa. Sudah semestinya, kami ingin
sekali lagi berkunjung ke SMA Taruna Nusantara untuk berkongsi lebih banyak
pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin untuk kemaslahatan semua pihak.
12.30 tengah hari
Kami
dibawa ke sebuah restoran yang terletak di kawasan desa, jauh dari kesibukan
bandar Jogjakarta bagi menikmati makan tengah hari. Pada masa yang sama,
kami juga sempat menunaikan solat di
surau yang terdapat di restoran itu. Ada juga ahli rombongan yang sempat
menukar pakaian sebelum menjelajah ke destinasi seterusnya, iaitu candi
Borobudur yang terletak agak jauh dari restoran tersebut dan juga betul-betul di
tengah-tengah pulau Jawa.
2.15 petang
Bas
yang kami naiki tiba di kawasan candi Borobudur. Semasa di dalam bas lagi, para
pelajar cuba mengaitkan candi Borobudur dengan apa yang telah mereka pelajari
dalam subjek Sejarah, lebih-lebih lagi tentang kerajaan awal di Asia Tenggara.
Sempat juga beberapa pelajar memberi penerangan ringkas tentang candi tersebut
yang dibina pada abad ke-8 Masihi.
Sebaik
sajaha turun daripada bas, ahli rombongan tiba-tiba dikerumuni oleh penjual
jalanan yang menawarkan pelbagai barangan, kebanyakannya cenderamata yang
berbaloi untuk dibawa pulang. Pada mulanya, ada antara pelajar yang berasa
kurang selesa dan terancam, namun keramahan penjual tersebut mengendurkan rasa
skeptikal yang ada dalam diri.
Beberapa
orang guru dan pelajar yang telah berhadapan dengan situasi yang sama
memberikan suatu petua: Jangan endahkan tawaran penjual tersebut sehingga
mereka menurunkan harga barangan yang dijual ke tahap yang paling murah.
Ternyata petua itu ada kebenarannya, kerana kebanyakan penjual mula menurunkan
harga setelah beberapa kali tidak dihiraukan oleh ahli rombongan. Namun,
kegiatan mereka terhenti apabila kami mula memasuki pekarangan dalam candi.
Lega juga rasa hati kerana dapat melepaskan diri daripada tumpuan mereka.
Sebelum
dibenarkan menaiki candi, kami diminta untuk menyarung sehelai kain batik
setiap seorang, mungkin bagi menghormati adat resam di situ. Kemudian, kami
dibawa ke tangga utama yang akan kami naiki untuk ke puncak candi, sambil
diiringi oleh pemandu pelancong yang bertugas. Menurut penerangan yang
diberikan, candi Borobudur dipercayai dibina sewaktu zaman kegemilangan
kerajaan Srivijaya. Sememangnya seni bina kuno candi tersebut memiliki nilai
kesenian yang amat berharga nilainya.
2.45 petang
Ahli
rombongan mula menaiki bebrapa lapisan tangga yang akhirnya menuju ke puncak
candi. Pada masa yang sama, pemandu pelancong menerangkan ukiran yang terdapat
di sekeliling candi. Ukiran tersebut dipercayai diinspirasikan daripada kitab
Mahabharata yang diajar dalam agama Buddha. Ukiran tersebut begitu cantik
perinciannya, lantas menjadi tumpuan lensa kamera kami.
Setibanya di puncak,
kami dapat melihat pemandangan sekeliling yang sungguh indah. Mata kami juga
tertancap ke arah Gunung Merapi yang beigtu gah menguasai panorama di situ.
Banyak foto yang berjaya kami rakam sebagai bukti kunjungan kami ke situ. Rasa
penat menaiki tangga ke puncak candi bagaikan hilang begitu sahaja apabila
dapat berada di puncak candi Borobudur yang selama ini hanya ditatap di dalam
buku teks Sejarah Tingkatan 4.
4.00 petang
Selepas puas berada
di puncak Borobudur, ahli rombongan mula menuruni tangga utama untuk kembali ke
bas. Dalam perjalanan, kami sekali lagi diserbu oleh para penjual jalanan yang
bersungguh-sungguh mahu kami membeli barangan yang dijual oleh mereka. Kami
berasa agak tertekan kerana pada satu tahap dikerumuni oleh lapan orang penjual
yang seakan-akan ‘memaksa’ kami untuk melakukan urusan jual beli dengan mereka.
Apabila tiba di
pintu bas, suasana kelam-kabut dan bising memuncak apabila ada penjual yang
seakan-akan tidak mahu melepaskan guru dan pelajar, melainkan mereka membeli
barangan yang dijual. Ada pelajar yang berasa seakan-akan ‘serik’ untuk ke
candi itu lagi, gara-gara tidak mahu berhadapan dengan situasi yang sama kelak.
Agak lucu apabila melihat setiap reaksi guru dan pelajar terhadap keadaan
tersebut. Namun begitu, itulah sebenarnya yang menambahkan seri kepada
pengembaraan kami di bumi Jogjakarta ini.
5.30 petang
Destinasi
seterusnya yang dilawati oleh ahli rombongan ialah sebuah kebun yang
menempatkan koleksi pokok buah salak dari seluruh kepulauan Nusantara. Walaupun
lawatan itu singkat, tetapi kami memperoleh banyak maklumat berguna tentang
tumbuhan tersebut, lebih-lebih lagi dengan penerangan terperinci yang diberikan
oleh pekerja kebun itu.
Sesetengah pelajar
yang baru pertama kali mengenali buah salak berasa teruja dan gembira kerana
diberi peluang merasai buah salak yang baru masak semasa berada di situ. Di kedai yang terdapat di kebun itu, guru dan pelajar juga sempat
membeli makanan berasaskan buah salak untuk dijadikan bekalan sepanjang
perjalanan pulang. Selepas selesai berada di kebun tersebut, kami memulakan
perjalanan untuk menikmati makan malam sebelum pulang ke Hotel Abadi.
7.30 malam
Kami tiba di
sebuah restoran di pinggir bandar Jogjakarta untuk makan malam. Selepas itu,
kami pulang ke hotel bagi merehatkan badan selepas mengharungi hari yang
sungguh panjang ini. Menjelang jam 9.00 malam, ada segelintir guru dan pelajar
yang berkunjung semula ke Jalan Malioboro bagi teurs membeli cenderamata buat
insan tersayang. Mereka sungguh bertuah kerana kebanyakan kedai masih dibuka
pada waktu itu. Maka, ruang masa yang ada dimanfaatkan secara total bagi
menyelesaikan urusan pembelian itu. Selepas itu, tibalah masa bagi mereka untuk
pulang ke kamar masing-masing dan berehat sebelum menjalani kembara pada hari
seterusnya.
22 OKTOBER 2011
8.00 pagi
Selepas
selesai bersarapan dan mendaftar keluar dari Hotel Abadi, ahli rombongan
menaiki bas sebelum menuju ke destinasi pertama untuk hari ke-4, iaitu sebuah
kedai menjual makanan tradisional Jawa. Sebelum itu, kami dibawa meronda-ronda
sekitar kawasan bandar Jogjakarta sambil mendengar penerangan daripada Cik
Rahmi selaku jurupandu pada hari itu. Ternyata sekali, bandar ini masih belum
menerima tempias kemodenan yang ketara apabila masih banyak bangunan lama yang
berdiri utuh di kiri dan kanan jalan sepanjang perjalanan kami.
9.45 pagi
Kami tiba di
kedai terbabit. Serentak dengan itu, kami dibawa melihat proses pembuatan
pelbagai jenis kuih yang berlaku di bahagian belakang kedai itu. Bau kuih
sedang dibakar di dalam ketuhar menusuk ke hidung, membuatkan selera sesiapa
sahaja terbuka untuk menikmatinya. Di
bahagian depan pula, kami diberi peluang untuk memilih makanan untuk dibeli dan
dibawa pulang. Sebilangan pelajar dan guru agak terkejut apabila melihat satu
kuih yang dikenali sebagai cengkerik goreng. Ada juga pelajar yang berasa
geli-geleman apabila melihat kuih itu dengan lebih dekat. Ada pula pelajar yang
membeli kuih itu dengan alasan ingin ditunjukkan kepada rakan-rakan
sekembalinya mereka ke Malaysia.
11.00 pagi
Selepas puas
berada di kedai tersebut, kami menaiki bas untuk ke lokasi lawatan yang
seterusnya, iaitu Kraton Ngayogyakarta Hadiningrat yang merupakan kediaman
rasmi bagi kerabat diraja kesultanan Jogjakarta. Kami dimaklumkan oleh Cik
Rahmi bahawa Jogjakarta merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang masih
memiliki sistem kesultanan sehingga kini. Oleh yang demikian, kraton ini
berfungsi sebagai istana atau tempat kediaman bagi keluarga diraja itu. Kami
juga dimaklumkan bahawa salah seorang ahli keluarga sultan di situ juga telah
melangsungkan perkahwinan beberapa hari yang lalu.
Setibanya kami
di sana, guru dan pelajar yang membawa kamera diminta melampirkan helaian
kertas bersama kamera mereka itu. Hal ini adalah kerana setiap alat rakaman
elektronik harus mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke istana.
Pengiring bertugas memandu arah kami sepanjang berada di situ sambil memberikan
penerangan terperinci tentang setiap aspek yang ada di istana itu. Sebelum itu,
pengiring tersebut memberitahu bahawa istana tersebut baru sahaja dipaparkan
dalam rancangan realiti popular Amerika, The Amazing Race musim ke-19
yang bersiaran baru-baru ini.
Pemerhatian kami mendapati kebanyakan
tanah di situ dilitupi debu yang agak tebal. Kami kemudian dimaklumkan bahawa
debu tersebut adalah daripada letusan Gunung Merapi pada penghujung 2010, dan
sehingga kini proses pembersihan masih giat dijalankan di situ. Kami juga dapat
perhatikan begitu ramai pelancong asing di situ yang tertarik dengan seni bina
istana tersebut. Pada masa yang sama, kami lihat begitu ramai warga tua yang bekerja
di situ. Kami difahamkan bahawa mereka merupakan hamba sultan yang bekerja
secara sukarela.
Sebelum melangkah masuk dengan lebih
jauh, ahli rombongan berpeluang menyaksikan persembahan wayang kulit yang
dipersembahkan sepenuhnya dalam dialek Jawa. Kami juga dibawa melawat galeri
yang menempatkan koleksi barangan peribadi kerabat diraja. Begitu banyak galeri
di situ sehingga ada pelajar dan guru yang agak keletihan dan mengambil sedikit
masa untuk berehat. Namun begitu, perjalanan tetap diteruskan sambil pelbagai
gambar dirakam untuk dijadikan kenangan berharga.
Kami berasa kagum tatkala melihat
keunikan keluarga diraja ini melalui koleksi barangan milik mereka.
Sesungguhnya, peluang bertandang ke istana itu banyak membuka mata guru dan
pelajar berkenaan keunikan Jogjakarta dari segi sosiobudaya masyarakatnya.
Sebelum menaiki bas, kami sempat meluangkan masa meninjau gerai-gerai menjual
banyak hasil kraf tangan yang pastinya menjadi pilihan kami untuk dibawa
pulang. Selepas itu, bas yang kami naiki memulakan perjalanan ke sebuah lagi
restoran di kawasan subbandar Jogjakarta bagi makan tengah hari.
1.15 petang
Setelah
selesai makan tengah hari dan menunaikan solat di surau restoran terbabit, kami
meneruskan perjalanan yang agak jauh untuk kembali ke bandar Solo yang
mula-mula kami jejaki sebaik sahaja turun dari pesawat. Sepanjang perjalanan,
sebahagian besar daripada guru dan pelajar melelapkan mata mungkin kerana
kepenatan setelah puas berjalan-jalan di Jogjakarta pada awalnya. Namun,
keletah Cik Rahmi banyak menghidupkan suasana di dalam bas, menjadikan
perjalanan tersebut tidak terlalu membosankan.
4.00 petang
Bas yang
dinaiki akhirnya memasuki kawasan Solo. Kami terus dibawa menuju ke kawasan
bandar utama yang amat sibuk dengan kenderaan bagi ke lokasi lawatan yang
berikutnya, iaitu Pasar Klewer. Sebaik sahaja menuruni bas, kami dipelawa oleh
beberapa pemandu beca untuk menaiki pengangkutan tersebut agar lebih cepat
sampai ke pasar tersebut. Ada guru dan pelajar yang menerima pelawaan tersebut,
manakala ahli rombongan yang lain pula ingin berjalan kaki sahaja.
Pasar Klewer
merupakan antara tempat tumpuan para pelancong yang datang ke Solo, dek kerana
terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis kain batik berkualiti tinggi
pada harga yang cukup rendah. Namun begitu, ketika kami tiba di situ,
kebanyakan kedai sudah mula untuk ditutup kerana waktu operasinya berakhir pada
jam 5.00 petang. Oleh yang demikian, kebanyakan ahli rombongan yang pergi ke
situ hanya sempat melihat sebilangan kedai dan membeli hanya sedikit barangan
berasaskan batik.
5.30 petang
Setelah
mengunjungi Pasar Klewer, kami dibawa mengelilingi bandar Solo sementara
menantikan waktu yang sesuai untuk menikmati makan malam. Kembara kami tersebut
diiringi penerangan daripada Cik Rahmi yang banyak membantu ahli rombongan
mengenali bandar tersebut, yang juga dikenali sebagai Surakarta dengan lebih
dekat. Dalam kebanyakan aspek, suasana di situ tidak ubah seperti apa yang kami
lihat sewaktu di Jogjakarta tempoh hari; campuran kemodenan dan unsur
tradisional yang masih bertahan sehingga kini.
6.45 petang
Kami tiba juga
di restoran yang menjadi lokasi makan malam terakhir ahli rombongan di bumi
Indonesia ini. Peluang terakhir ini tidak dilepaskan oleh kebanyakan guru dan
pelajar untuk merakamkan gambar-gambar yang pastinya akan menambahkan memori
manis dalam diri mereka. Satu perkara yang harus diakui ialah makanan yang
dihidangkan pada malam itu juga amat sedap dan menyelerakan.
Namun begitu, ada juga pelajar yang
sudah mula membayangkan makanan di SAMURA tatkala lawatan mereka akan berakhir
pada hari esok. Hal yang demikian menyedarkan para pelajar, terutamanya pelajar
tingkatan 5 bahawa sebaik sahaja selesainya program ini, mereka akan kembali
menjalani kehidupan seperti biasa sebagai calon SPM 2011 dan terus berusaha ke
arah kecemerlangan agar nama SAMURA akan terus sentiasa terjulang.
9.00 malam
Rombongan tiba
di tempat penginapan terakhir, iaitu Hotel Ibis yang terletak di pinggir bandar
Solo. Sementara menanti pembahagian kunci kamar, beberapa pelajar sempat
menggunakan kemudahan internet perrcuma di lobi hotel itu untuk berhubung
dengan keluarga dan rakan di Malaysia melalui laman sosial Facebook dan
Twitter. Ternyata sekali mereka tidak sabar dan teruja untuk kembali memijak
bumi Malaysia yang semakin mereka rindui.
Cuaca hujan
menghalang kebanyakan ahli rombongan untuk bersiar-siar di kawasan sekitar
hotel. Oleh yang demikian, mereka membuat keputusan untuk merehatkan badan di
bilik masing-masing dan mula berkemas sebelum pulang ke Malaysia. Tambahan
pula, bilik yang disediakan kelihatan cukup mewah dan mempunyai nilai elegan
yang amat tinggi. Akhirnya, kesemua ahli rombongan melelapkan mata sambil cuba
menyelami malam terakhir mereka di bumi Solo ini.
23 OKTOBER 2011
8.15 pagi
Selepas bersarapan dan mendaftar keluar dari hotel, ahli rombongan dibawa terlebih dahulu mengunjungi semula Pasar Klewer bagi melunaskan urusan pembelian cenderamata yang diinginkan. Namun, sebelum itu kami dibawa ke sebuah kedai menjual kraf tangan berkualiti tinggi, iaitu Javenir yang terletak di pinggir bandar Solo. Barangan bermutu tinggi yang dijual pada harga berpatutan membuatkan ramai guru dan pelajar berbelanja di kedai itu.
10.00 pagi
8.15 pagi
Selepas bersarapan dan mendaftar keluar dari hotel, ahli rombongan dibawa terlebih dahulu mengunjungi semula Pasar Klewer bagi melunaskan urusan pembelian cenderamata yang diinginkan. Namun, sebelum itu kami dibawa ke sebuah kedai menjual kraf tangan berkualiti tinggi, iaitu Javenir yang terletak di pinggir bandar Solo. Barangan bermutu tinggi yang dijual pada harga berpatutan membuatkan ramai guru dan pelajar berbelanja di kedai itu.
10.00 pagi
Kami tiba di
Pasar Klewer. Kebanyakan kedai sudah pun memulakan operasi, memudahkan ahli
rombongan untuk meninjau barangan yang sesuai untuk dimiliki dan dibawa pulang.
Pada masa yang sama, sebilangan guru dan pelajar mengambil kesempatan
menggunakan pengangkutan beca yang disediakan. Walaupun beca di sekitar kawasan
Solo itu tidak setanding dengan beca di Melaka, namun pengalaman menaikinya
merupakan sesuatu yang amat unik dan berharga sekali.
Selepas puas
bersiar-siar dan mencuci mata di kawasan sekitar, sudah tiba masanya untuk kami
meninggalkan Pasar Klewer, sekaligus mengakhiri kembara 5 hari kami di bumi
Indonesia ini. Sesungguhnya, telah banyak pengalaman dan pengetahuan yang
ditimba sepanjang lawatan ini. Sepanjang perjalanan menuju ke Lapangan Terbang
Adi Suemarmo, Solo, sebilangan ahli rombongan tidak melepaskan peluang
merakamkan panorama Solo dari dalam bas sebagai antara kenangan terakhir
mereka.
11.45 pagi
Kami tiba di lapangan terbang yang dimaksudkan. Tidak lama selepas ketibaan kami di situ, kaunter tiket ke Kuala Lumpur mula dibuka. Tanpa berlengah lagi, semua ahli rombongan mendaftar masuk di kaunter tersebut dan terus menuju ke balai perlepasan. Selepas melepasi pemeriksaan imigresen, semua ahli rombongan menunggu kebenaran untuk memasuki pesawat.
11.45 pagi
Kami tiba di lapangan terbang yang dimaksudkan. Tidak lama selepas ketibaan kami di situ, kaunter tiket ke Kuala Lumpur mula dibuka. Tanpa berlengah lagi, semua ahli rombongan mendaftar masuk di kaunter tersebut dan terus menuju ke balai perlepasan. Selepas melepasi pemeriksaan imigresen, semua ahli rombongan menunggu kebenaran untuk memasuki pesawat.
1.00 petang
Ahli
rombongan mula memasuki pesawat dan mengambil tempat masing-masing. Sebaik
sahaja pesawat berlepas pada jam 1.15 petang, ramai dalam kalangan guru dan
pelajar menggunakan ruang waktu yang ada untuk melelapkan mata dan merehatkan
badan setelah mengharungi satu pengembaraan yang agak lama tetapi mengujakan.
Suasana senyap menyelubungi kabin pesawat sepanjang penerbangan yang memakan
masa 2 jam 15 minit itu.
3.30 petang
Pesawat
yang kami naiki akhirnya mendarat di LCCT, Sepang. Perasaan lega menguasai
benak fikiran kami tatkala sudah selamat sampai di tanah air yang dirindui
selama 5 hari ini. Pesawat Air Asia itu kami tinggalkan sambil membawa bersama
seribu satu memori berharga yang kami peroleh semasa berada di Jogjakarta dan
Solo. Selepas mengambil bagasi masing-masing, ahli rombongan terus menuju ke
ruang ketibaan dan menghala ke arah bas sekolah yang telah menunggu sejak jam
3.00 petang lagi.
4.30 petang
Perjalanan
kami menaiki bas sekolah bermula setelah semua ahli rombongan berada di
dalamnya. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di kawasan R&R Seremban
(Arah Selatan) bagi menunaikan solat dan membeli sedikit makanan ringan untuk
dimakan sewaktu dalam perjalanan. Kemudian, perjalanan diteruskan sehingga kami
dapat lihat bumi bertuah SAMURA yang kami rasa agak lama ditinggalkan. Sebaik
sahaja memijakkan kaki di bumi SAMURA pada jam 7.15 petang, para pelajar
bersalaman dengan guru-guru sebagai tanda terima kasih atas kesabaran mereka
dalam melayan kerenah mereka sepanjang program tersebut.