Rabu, 26 Oktober 2011

Kembara di Jogjakarta & Solo

Assalamualaikum, semua...
Apa khabar? Harap-harapnya sihat sejahtera. Baiklah, kali ini, biar saya ceritakan pengalaman yang saya tempuhi sewaktu mengikuti progam pengantarabangsaan ke Jogjakarata dan Solo di Indonesia pada 19 hingga 23 Oktober yang lalu. Mungkin 'blog post' kali ini agak dan amat panjang. So, fasten your seatbelt!

19 OKTOBER 2011
2.00 pagi
Kesemua pelajar yang menyertai lawatan ini berkumpul di hadapan dewan makan sebelum memulakan perjalanan menaiki bas sekolah. Sepanjang perjalanan, tiada apa-apa aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar dan guru, melainkan hanyalah melelapkan mata dan cuba untuk merehatkan badan sebelum menempuh perjalanan jauh melalui jalan udara pula.

5.15 pagi
Rombongan kami tiba di Terminal Pengangkut Tambang Murah (LCCT), Sepang. Walaupun baru dinihari, tetapi suasana di sana sudah mula kelihatan sibuk dengan lautan manusia mula memenuhi terminal terbabit. Selepas menunaikan solat Subuh di surau berhampiran, kami berkumpul untuk pembahagian tugasan berkenaan tiket penerbangan serta barangan berkaitan.
Seusai urusan terbabit, para ahli rombongan dibenarkan untuk melakukan aktiviti masing-masing, sama ada bersarapan atau pun menguruskan penukaran mata wang Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia. Ada antara pelajar yang berkata bahawa mereka hanya akan membuat penukaran tersebut setibanya di Solo, Indonesia. Sebelum menuju ke balai pelepasan, semua ahli rombongan bergambar bersama-sama sebagai tanda ingatan sesama mereka.

10.00 pagi
Para ahli rombongan mula menaiki pesawat Air Asia sementara menunggu pesawat itu untuk berlepas pada jam 10.25 pagi. Sebilangan besar ahli rombongan berasa teruja kerana ini merupakan kali pertama bagi mereka untuk menjejakkan kaki ke dalam pesawat serta menaiki penerbangan antarabangsa. Sebaik sahaja pesawat berlepas, ada antara pelajar yang berasa tidak selesa dengan perubahan altitud yang berlaku di dalam pesawat. Mujurlah sepanjang perjalanan, tidak kelihatan walau seorang pun pelajar mahu pun guru yang tidak sedarkan diri sepanjang berada di dalam pesawat tersebut.

12.45 tengah hari
Pesawat yang dinaiki akhirnya tiba di Lapangan Terbang Adi Suemarmo, Solo, Indonesia. Kebanyakan ahli rombongan tidak menyedari perjalanan yang memakan masa kira-kira 2 jam 20 minit itu kerana terlelap ketika di dalam pesawat. Sebaik sahaja selesai menguruskan hal-hal berkaitan bagasi dan juga pemeriksaan imigresen, rombongan kami disambut oleh Puan Fitri Miswati selaku wakil agensi pelancongan yang menguruskan lawatan kami ke Solo dan Jogjakarta. Sepanjang perjalanan menaiki bas yang disewa khas, kami disertai oleh Cik Wulan selaku jurupandu yang memberikan penerangan mengenai sejarah Solo serta tempat-tempat menarik yang terdapat di situ. Kami berasa terhibur mendengar keletah Cik Wulan, membuatkan rasa letih kami seakan-akan hilang begitu sahaja.

1.45 petang
Kami tiba di sebuah restoran berdekatan bagi menikmati makan tengah hari. Ada antara ahli rombongan yang tidak begitu berselera kerana masih kekenyangan selepas menikmati makanan di dalam pesawat sebelum itu. Namun begitu, ada pelajar yang segera beratur untuk mendapatkan makanan kerana sudah berasa lapar. Sewaktu makan, para pelajar memberi pandangan terhadap masakan yang berunsurkan Melayu Indonesia itu. Pada hemat mereka, kebanyakan lauk yang tersedia kurang berkuah, tidak seperti yang biasa mereka nikmati di Malaysia, manakala nasinya pula agak kering. Namun, hal demikian tidak menghalang mereka untuk terus menikmati juadah yang disediakan.

2.15 petang
Seusai makan, rombongan meneruskan perjalanan ke Masijd al-Muttaquun bagi menunaikan solat secara jamak dan qasar. Setibanya di sana, kami menyelesaikan segala urusan yang penting terlebih dahulu sebelum berehat seketika di pekarangan masjid. Sesetengah ahli rombongan tertarik dengan gerai-gerai kecil yang didirikan oleh penduduk tempatan yang menjual pelbagai barangan, termasuklah makanan serta kraf tangan. Namun, bagi mereka adalah terlalu awal bagi membeli cenderamata untuk dibawa pulang kerana bagi mereka ada banyak lagi destinasi yang hendak dikunjungi nanti.

6.00 petang
Perjalanan diteruskan dan rombongan tiba di Muzium Gunung Merapi yang terletak di kaki gunung terbabit. Kami bernasib baik kerana muzium itu masih dibuka sedangkan masa operasinya berakhir pada jam 6.30 petang. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam muzium itu, kami terus dibawa ke bilik tayang bagi menyaksikan persembahan multimedia berkenaan dengan kehidupan masyarakat di sekeliling Gunung Merapi serta penyelidikan yang dilakukan terhadap gunung tersebut.
Selepas itu, kami dibawa meninjau ke sekeliling kawasan muzium bagi melihat dengan lebih dekat struktur sebenar gunung berapi, kejadian letusan lahar dan juga kesan yang dibawa. Terbit rasa syukur dalam hati kerana dapat hidup di negara yang tidak berdepan dengan ancaman sedemikian. Pada masa yang sama, lensa kamera kami tidak putus-putus mendekati pelbagai imej untuk dirakam dan disimpan sebagai memori berharga kelak. Setelah puas mengelilingi seluruh kawasan muzium, kami menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya bagi menikmati makan malam.

7.15 malam
Kami tiba di sebuah restoran di pinggir bandar Jogjakarta bagi menjamu selera pada waktu malam. Restoran yang berkonsepkan makanan Padang itu menyajikan pelbagai makanan yang pastinya membuka selera kebanyakan ahli rombongan pada masa itu. Suasana meriah dapat dilihat tatkala para pelajar berbual-bual antara satu sama lain tentang perjalanan mereka pada hari itu. Selepas makan, kesemua ahli rombongan menaiki bas untuk bertolak ke Hotel Whiz yang menjadi lokasi penginapan pada hari pertama lawatan. Selepas selesai pembahagian kunci bilik pada jam 8.30 malam, para pelajar dan guru bergerak menuju ke bilik masing-masing bagi merehatkan diri.

20 OKTOBER 2011
7.30 pagi
Sebelum memulakan perjalanan untuk hari kedua, ahli rombongan bersarapan terlebih dahulu. Makanan yang dihidangkan cukup memuaskan dan menjadikan kami tidak sabar-sabar untuk mula mnjelajah ke tempat-tempat yang akan dilawati nanti. Selepas mendaftar keluar dari hotel, para pelajar dan guru menaiki bas untuk ke destinasi pertama pada hari tersebut: SMAN 3 Jogjakarta.

9.45 pagi
               Kami tiba di sekolah tersebut dan disambut oleh guru-guru serta beberapa wakil pelajar yang telah menunggu dari jam 8.30 pagi lagi. Sementara menanti ketibaan Pengetua Kanan SAMURA, Tn. Hj. Samian bin Sawiyo ke sekolah itu, kami dibawa meninjau ke sekeliling sekolah tersebut bagi melihat dengan lebih terperinci sistem pengajaran dan pembelajaran yang pastinya turut menjadi amalan sekolah-sekolah lain di Indonesia.
            Kami dapat merasakan suasana yang cukup tenang tatkala melihat rimbunan pokok-pokok menghiasi persekitaran sekolah ini. Pekarangan sekolah yang luas turut menjadi lokasi bagi sesetengah pelajar dan guru sekolah itu untuk mengadakan kelas, lebih-lebih lagi bagi subjek berkaitan bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa Jepun. Suatu perkara yang membuat kami tertarik dengan sekolah itu adalah sistem kehadiran pelajarnya yang disemak berdasarkan imbasan cap jari, seperti yang kita dapat lihat di kompleks-kompleks pentadbiran di Putrajaya umpamanya. Begitu canggih sekali kaedah yang digunakan bagi memastikan kehadiran pelajar sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.
           Kami juga berasa terhibur apabila ada segelintir pelajar SMAN 3 Jogjakarta ini yang sudi membuat persembahan secara ringkas di hadapan kami, lebih-lebih lagi ketika kami melawat kelas seni budaya serta kelas muzik di situ. Sesungguhnya, kami dapat melihat banyak bakat yang terpendam di sekolah ini, lantas membuat kami berasa lebih kagum dengan kemajuan pembangunan modal insan di sini, walaupun bangunan sekolah itu sudah hampir berusia seabad. Kadang kala, kami tertawa melihat keletah mereka beraksi di hadapan kami.
             Kami juga sempat meluangkan masa untuk masuk ke dalam makmal yang digunakan bagi subjek Sains seperti Biologi, Kimia dan juga Fizik. Ternyata walaupun berada dalam keadaan yang agak usang, namun kemudahan yang sedia ada masih terpelihara dengan baik. Lawatan ke sekitar sekolah terbabit menambahkan pengetahuan kami tentang perjalanan pelajar di sekolah itu, ditambah pula dengan penerangan daripada pelajar sekolah itu sendiri yang menjadi jurupandu kepada kami.

11.15 pagi
Setibanya Tn. Hj. Samian ke SMAN 3 Jogjakarta, para ahli rombongan dibawa ke bilik seminar bagi majlis rasmi sempena mengalu-alukan kehadiran kami ke situ. Selain daripada ucapan daripada Tn. Hj. Samian serta wakil dari sekolah itu, kami juga turut disajikan dengan persembahan daripada pasukan koir SMAN 3 Jogjakarta, serta pasukan zapin SAMURA. Tayangan multimedia daripada kedua-dua sekolah turut diadaakan. Selepas upacara menandatangani perjanjian persefahaman serta pertukaran cenderamata, ahli rombongan bersama-sama mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan. Ada antara pelajar SAMURA yang turut bertukar-tukar alamat e-mel dengan pelajar sekolah itu. Selepas itu, para ahli rombongan kembali ke bas untuk bergerak ke lokasi lawatan yang seterusnya.
Sesungguhnya, lawatan ke SMAN 3 Jogjakarta merupakan suatu pengalaman yang amat unik dan meluaskan horizon pemikiran kami semua. Ternyata, banyak yang telah kami pelajari dari mereka dan mereka juga pasti memikirkan perkara yang sama. Semoga lawatan tadi dapat membantu kami untuk menyiapkan diri bagi menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan. Andai diizin tuhan, kami akan berkunjung lagi ke sekolah itu.
         Kemudian, kami singgah ke restoran Bumbu Desa di bandar Jogjakarta bagi menjamu selera pada tengah hari tersebut. Rata-rata guru dan pelajar memuji keenakan dan kelazatan makanan yang dihidangkan di situ.

2.30 petang
           Kami tiba di Universiti Gadjah Mada yang menjadi lokasi lawatan kami seterusnya. Sebelum itu, kami singgah di masjid kampus universiti berkenaan bagi menunaikan solat. Selepas itu, kami bergegas menuju ke Fakulti Perubatan universiti itu bagi mendengar sesi taklimat berkaitan pemilihan pelajar serta bidang kursus yang ditawarkan di fakulti tersebut. Ramai pelajar dilihat menumpukan perhatian terhadap penerangan tersebut kerana mereka sememangnya berazam untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Selepas itu, Tn. Hj. Samian menyampaikan sedikit ucapan ringkas yang turut disertakan dengan kata-kata penghargaan kepada pihak fakulti kerana sudi menerima rombongan dari SAMURA. Upacara pertukaran cenderamata turut mengambil tempat.

4.30 petang
               Seterusnya, kami dibawa melawat pusat praktikal fakulti terbabit bagi meninjau dengan lebih dekat cabaran yang dihadapi oleh para siswa dan siswi bagi memantapkan ilmu perubatan moden mereka. Kehadiran petugas pusat tersebut selaku jurupandu memudahkan kami untuk lebih memahami setiap aspek yang ada di situ. Banyak pertanyaan yang dikemukakan oleh para pelajar bagi membantu mereka menjadi lebh faham akan  Di sini, kebanyakan pelajar sering mengaitkan hasil tinjauan mereka dengan subjek Biologi yang dipelajari di sekolah. Jelas sekali, banyak informasi yang diperoleh membantu para pelajar bagi membuat perancangan pada masa hadapan.

6.15 petang
             Destinasi lawatan kami yang seterusnya ialah pusat pembuatan barangan perak yng terletak di pinggir bandar Jogjakarta. Lawatan singkat itu sudah cukup bagi ahli rombongan untuk mendekati proses penghasilan kraf tangan perak dari permulan sehingga ke kemasan terakhir. Terpuaku kami buat seketika apabila melihat hasil barangan perak yang dipamerkan memiliki nilai estetika yang cukup tinggi. Namun begitu, kekangan masa dan harga membantutkan hasrat beberapa ahli rombongan untuk membeli ceneramata perak yang dijual di situ.
              
6.45 petang
Kami terus berjalan kaki ke sebuah restoran berhampiran untuk makan malam. Kami agak terperanjat dan tidak menyangka sama sekali bahawa restoran itu kelihatan amat mewah. Pada kesempatan itu, kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan panorama indah restoran tersebut yang pasti akan diingati sampai bila-bila. Makanan yang dihidangkan juga setanding dengan hiasan restoran itu yang cukup indah.

8.15 malam
      Kami tiba di lokasi penginapan pada hari kedua dan ketiga iaitu Hotel Abadi. Lokasinya yang strategik membuatkan ramai dalam kalangan ahli rombongan ingin segera menukar pakaian dan dan berjalan-jalan di kawasan sekitar. Selain ingin membeli tanda kenang-kenangan untuk diberikan kepada insan tersayang, ada juga yang ingin membuat penukaran mata wang Ringgit kepada Rupiah.
         Destinasi utama yang menjadi pilihan para ahli rombongan ialah Jalan Malioboro yang terletak tidak sampai 750 meter dari hotel. Jalan tersebut amat terkenal sebagai salah satu daya penarik utama pelancong ke Jogjakarta. Pelbagai kraf tangan tempatan dijual dengan harga yang begitu berpatutan. Kebanyakan daripada kami menjadi rambang mata apabila melihat terlalu banyak pilihan barangan untuk dibeli. Selain kawasan Jalan Malioboro, ada juga ahli rombongan yang ke Mal Malioboro di jalan yang sama bagi tujuan yang sama.
Pada akhirnya, kebanyakan ahli rombongan hanya membeli sedikit cenderamata kerana kebanyakan kedai sudah tutup dan mereka juga sudah kepenatan. Ahli rombongan yang ke Jalan Malioboro pulang ke hotel pada jam 10.30 malam dan pulang ke bilik masing-masing bagi melepaskan lelah.

21 OKTOBER 2011
7.30 pagi
      Para ahli rombongan memulakan kembara untuk hari ketiga dengan bersarapan terlebih dahulu di kafeteria hotel. Rata-rata guru dan pelajar kelihatan agak bertenaga dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Setelah semuanya bersarapan, bas yang membawa ahli rombongan bertolak pada jam 8.00 pagi menuju ke lokasi lawatan yang pertama untuk hari itu, iaitu SMA Taruna Nusantara, sebuah sekolah persendirian yang terletak di wilayah Magelang.

9.45 pagi
        Akhirnya tiba di sekolah yang dimaksudkan. Sebelum itu, kami dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan adalah serupa seperti Maktab Tentera DiRaja di Malaysia. Dalam erti kata lain, SMA Taruna Nusantara ialah sekolah yang menjurus ke arah menyediakan bakal-bakal anggota pasukan keselamatan, terutamanya tentera. Ketibaan kami disambut dengan meriah oleh guru-guru dan para pelajar sekolah terbabit. Kami dibawa ke sebuah dewan mini bagi mengikuti majlis rasmi sempena mengalu-alukan kunjungan kami ke situ. Ucapan alu-aluan daripada wakil sekolah itu membuka tirai majlis tersebut.
Sepanjang majlis itu, beberapa buah persembahan menyerikan suasana. Para pelajar sekolah itu banyak memberikan pertunjukan kebudayaan yang amat mengagumkan, seperti angklung. Selain itu, beberapa tarian tradisional masyarakat Jawa turut dipersembahkan turut memukau perhatian para hadirin. Persembahan tersebut melambangkan kesungguhan pelajar-pelajar di sekolah ini untuk mempertahankan warisan budaya bangsa mereka daripada lenyap ditelan zaman. Pada masa yang sama, pasukan zapin SAMURA turut membuat persembahan bagi memperkenalkan tradisi masyarakat Malaysia. Hadirin juga dipersembahkan dengan tayangan multimedia daripada kedua-dua sekolah. Selepas itu, berlangsung upacara menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua belah pihak dan juga penukaran cenderamata.

11.15 pagi
         Selepas itu, ahli rombongan dibawa meninjau ke sekitar kawasan sekolah yang cukup luas itu. Berdasarkan pemerhatian kami, segala kemudahan yang terdapat di situ adalah amat maju. Satu perkara yang harus diakui ialah sesetengah fasiliti yang ada di sekolah itu adalah jauh lebih baik daripada apa yang ada di SAMURA. Oleh itu, pengalaman bersama para pelajar SMA Taruna Nusantara digunakan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar SAMURA untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai usaha penambahbaikan diri mereka.
             Para pelajar kelihatan begitu kagum apabila dapat mendekati pesektiaran sekolah itu dangan lebih mendalam dan melihat perjalanan proses pembelajaran di sana. Ketika berada di kedai koperasi sekolah itu, pelajar dan guru sempat meluangkan masa membeli cenderamata eksklusif sekolah itu untuk dibawa pulang. Setelah puas berjalan-jalan mengelilingi sekolah itu, para pelajar singgah sebentar ke dalam beberapa kelas bagi menyampaikan cenderamata dari SAMURA kepada pelajar-pelajar sekolah itu. Ada pelajar juga sempat bertukar-tukar alamat e-mel untuk berhubung kemudian. Setelah segalanya selesai, ahli rombongan menaiki semula bas sebelum meninggalkan SMA Taruna Nusantara.
         Sesungguhnya, lawatan ke sekolah ini telah banyak membantu mengubah persepektif kami terhadap sistem pendidikan di Indonesia. Dalam satu aspek, mungkin mereka agak ketinggalan daripada kita di Malaysia, tetapi dalam aspek yang lain pula, mereka sudah berada jauh di hadapan. Oleh yang demikian, lawatan ini menyedarkan kami bahawa sikap bantu-membantu merupakan antara aspek terpenting bagi memastikan kelangsungan pendidikan di SAMURA terutamanya sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik pada setiap masa. Sudah semestinya, kami ingin sekali lagi berkunjung ke SMA Taruna Nusantara untuk berkongsi lebih banyak pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin untuk kemaslahatan semua pihak.

12.30 tengah hari
               Kami dibawa ke sebuah restoran yang terletak di kawasan desa, jauh dari kesibukan bandar Jogjakarta bagi menikmati makan tengah hari. Pada masa yang sama, kami  juga sempat menunaikan solat di surau yang terdapat di restoran itu. Ada juga ahli rombongan yang sempat menukar pakaian sebelum menjelajah ke destinasi seterusnya, iaitu candi Borobudur yang terletak agak jauh dari restoran tersebut dan juga betul-betul di tengah-tengah pulau Jawa.

2.15 petang
               Bas yang kami naiki tiba di kawasan candi Borobudur. Semasa di dalam bas lagi, para pelajar cuba mengaitkan candi Borobudur dengan apa yang telah mereka pelajari dalam subjek Sejarah, lebih-lebih lagi tentang kerajaan awal di Asia Tenggara. Sempat juga beberapa pelajar memberi penerangan ringkas tentang candi tersebut yang dibina pada abad ke-8 Masihi.
          Sebaik sajaha turun daripada bas, ahli rombongan tiba-tiba dikerumuni oleh penjual jalanan yang menawarkan pelbagai barangan, kebanyakannya cenderamata yang berbaloi untuk dibawa pulang. Pada mulanya, ada antara pelajar yang berasa kurang selesa dan terancam, namun keramahan penjual tersebut mengendurkan rasa skeptikal yang ada dalam diri.
              Beberapa orang guru dan pelajar yang telah berhadapan dengan situasi yang sama memberikan suatu petua: Jangan endahkan tawaran penjual tersebut sehingga mereka menurunkan harga barangan yang dijual ke tahap yang paling murah. Ternyata petua itu ada kebenarannya, kerana kebanyakan penjual mula menurunkan harga setelah beberapa kali tidak dihiraukan oleh ahli rombongan. Namun, kegiatan mereka terhenti apabila kami mula memasuki pekarangan dalam candi. Lega juga rasa hati kerana dapat melepaskan diri daripada tumpuan mereka.
         Sebelum dibenarkan menaiki candi, kami diminta untuk menyarung sehelai kain batik setiap seorang, mungkin bagi menghormati adat resam di situ. Kemudian, kami dibawa ke tangga utama yang akan kami naiki untuk ke puncak candi, sambil diiringi oleh pemandu pelancong yang bertugas. Menurut penerangan yang diberikan, candi Borobudur dipercayai dibina sewaktu zaman kegemilangan kerajaan Srivijaya. Sememangnya seni bina kuno candi tersebut memiliki nilai kesenian yang amat berharga nilainya.

2.45 petang
               Ahli rombongan mula menaiki bebrapa lapisan tangga yang akhirnya menuju ke puncak candi. Pada masa yang sama, pemandu pelancong menerangkan ukiran yang terdapat di sekeliling candi. Ukiran tersebut dipercayai diinspirasikan daripada kitab Mahabharata yang diajar dalam agama Buddha. Ukiran tersebut begitu cantik perinciannya, lantas menjadi tumpuan lensa kamera kami.
Setibanya di puncak, kami dapat melihat pemandangan sekeliling yang sungguh indah. Mata kami juga tertancap ke arah Gunung Merapi yang beigtu gah menguasai panorama di situ. Banyak foto yang berjaya kami rakam sebagai bukti kunjungan kami ke situ. Rasa penat menaiki tangga ke puncak candi bagaikan hilang begitu sahaja apabila dapat berada di puncak candi Borobudur yang selama ini hanya ditatap di dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.

4.00 petang
Selepas puas berada di puncak Borobudur, ahli rombongan mula menuruni tangga utama untuk kembali ke bas. Dalam perjalanan, kami sekali lagi diserbu oleh para penjual jalanan yang bersungguh-sungguh mahu kami membeli barangan yang dijual oleh mereka. Kami berasa agak tertekan kerana pada satu tahap dikerumuni oleh lapan orang penjual yang seakan-akan ‘memaksa’ kami untuk melakukan urusan jual beli dengan mereka.
Apabila tiba di pintu bas, suasana kelam-kabut dan bising memuncak apabila ada penjual yang seakan-akan tidak mahu melepaskan guru dan pelajar, melainkan mereka membeli barangan yang dijual. Ada pelajar yang berasa seakan-akan ‘serik’ untuk ke candi itu lagi, gara-gara tidak mahu berhadapan dengan situasi yang sama kelak. Agak lucu apabila melihat setiap reaksi guru dan pelajar terhadap keadaan tersebut. Namun begitu, itulah sebenarnya yang menambahkan seri kepada pengembaraan kami di bumi Jogjakarta ini.

5.30 petang
               Destinasi seterusnya yang dilawati oleh ahli rombongan ialah sebuah kebun yang menempatkan koleksi pokok buah salak dari seluruh kepulauan Nusantara. Walaupun lawatan itu singkat, tetapi kami memperoleh banyak maklumat berguna tentang tumbuhan tersebut, lebih-lebih lagi dengan penerangan terperinci yang diberikan oleh pekerja kebun itu.
Sesetengah pelajar yang baru pertama kali mengenali buah salak berasa teruja dan gembira kerana diberi peluang merasai buah salak yang baru masak semasa berada di situ. Di kedai yang terdapat di kebun itu, guru dan pelajar juga sempat membeli makanan berasaskan buah salak untuk dijadikan bekalan sepanjang perjalanan pulang. Selepas selesai berada di kebun tersebut, kami memulakan perjalanan untuk menikmati makan malam sebelum pulang ke Hotel Abadi.

7.30 malam
        Kami tiba di sebuah restoran di pinggir bandar Jogjakarta untuk makan malam. Selepas itu, kami pulang ke hotel bagi merehatkan badan selepas mengharungi hari yang sungguh panjang ini. Menjelang jam 9.00 malam, ada segelintir guru dan pelajar yang berkunjung semula ke Jalan Malioboro bagi teurs membeli cenderamata buat insan tersayang. Mereka sungguh bertuah kerana kebanyakan kedai masih dibuka pada waktu itu. Maka, ruang masa yang ada dimanfaatkan secara total bagi menyelesaikan urusan pembelian itu. Selepas itu, tibalah masa bagi mereka untuk pulang ke kamar masing-masing dan berehat sebelum menjalani kembara pada hari seterusnya.

22 OKTOBER 2011
8.00 pagi
             Selepas selesai bersarapan dan mendaftar keluar dari Hotel Abadi, ahli rombongan menaiki bas sebelum menuju ke destinasi pertama untuk hari ke-4, iaitu sebuah kedai menjual makanan tradisional Jawa. Sebelum itu, kami dibawa meronda-ronda sekitar kawasan bandar Jogjakarta sambil mendengar penerangan daripada Cik Rahmi selaku jurupandu pada hari itu. Ternyata sekali, bandar ini masih belum menerima tempias kemodenan yang ketara apabila masih banyak bangunan lama yang berdiri utuh di kiri dan kanan jalan sepanjang perjalanan kami.

9.45 pagi
       Kami tiba di kedai terbabit. Serentak dengan itu, kami dibawa melihat proses pembuatan pelbagai jenis kuih yang berlaku di bahagian belakang kedai itu. Bau kuih sedang dibakar di dalam ketuhar menusuk ke hidung, membuatkan selera sesiapa sahaja terbuka untuk menikmatinya.  Di bahagian depan pula, kami diberi peluang untuk memilih makanan untuk dibeli dan dibawa pulang. Sebilangan pelajar dan guru agak terkejut apabila melihat satu kuih yang dikenali sebagai cengkerik goreng. Ada juga pelajar yang berasa geli-geleman apabila melihat kuih itu dengan lebih dekat. Ada pula pelajar yang membeli kuih itu dengan alasan ingin ditunjukkan kepada rakan-rakan sekembalinya mereka ke Malaysia.

11.00 pagi
               Selepas puas berada di kedai tersebut, kami menaiki bas untuk ke lokasi lawatan yang seterusnya, iaitu Kraton Ngayogyakarta Hadiningrat yang merupakan kediaman rasmi bagi kerabat diraja kesultanan Jogjakarta. Kami dimaklumkan oleh Cik Rahmi bahawa Jogjakarta merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang masih memiliki sistem kesultanan sehingga kini. Oleh yang demikian, kraton ini berfungsi sebagai istana atau tempat kediaman bagi keluarga diraja itu. Kami juga dimaklumkan bahawa salah seorang ahli keluarga sultan di situ juga telah melangsungkan perkahwinan beberapa hari yang lalu.
        Setibanya kami di sana, guru dan pelajar yang membawa kamera diminta melampirkan helaian kertas bersama kamera mereka itu. Hal ini adalah kerana setiap alat rakaman elektronik harus mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke istana. Pengiring bertugas memandu arah kami sepanjang berada di situ sambil memberikan penerangan terperinci tentang setiap aspek yang ada di istana itu. Sebelum itu, pengiring tersebut memberitahu bahawa istana tersebut baru sahaja dipaparkan dalam rancangan realiti popular Amerika, The Amazing Race musim ke-19 yang bersiaran baru-baru ini.
Pemerhatian kami mendapati kebanyakan tanah di situ dilitupi debu yang agak tebal. Kami kemudian dimaklumkan bahawa debu tersebut adalah daripada letusan Gunung Merapi pada penghujung 2010, dan sehingga kini proses pembersihan masih giat dijalankan di situ. Kami juga dapat perhatikan begitu ramai pelancong asing di situ yang tertarik dengan seni bina istana tersebut. Pada masa yang sama, kami lihat begitu ramai warga tua yang bekerja di situ. Kami difahamkan bahawa mereka merupakan hamba sultan yang bekerja secara sukarela.
Sebelum melangkah masuk dengan lebih jauh, ahli rombongan berpeluang menyaksikan persembahan wayang kulit yang dipersembahkan sepenuhnya dalam dialek Jawa. Kami juga dibawa melawat galeri yang menempatkan koleksi barangan peribadi kerabat diraja. Begitu banyak galeri di situ sehingga ada pelajar dan guru yang agak keletihan dan mengambil sedikit masa untuk berehat. Namun begitu, perjalanan tetap diteruskan sambil pelbagai gambar dirakam untuk dijadikan kenangan berharga.
Kami berasa kagum tatkala melihat keunikan keluarga diraja ini melalui koleksi barangan milik mereka. Sesungguhnya, peluang bertandang ke istana itu banyak membuka mata guru dan pelajar berkenaan keunikan Jogjakarta dari segi sosiobudaya masyarakatnya. Sebelum menaiki bas, kami sempat meluangkan masa meninjau gerai-gerai menjual banyak hasil kraf tangan yang pastinya menjadi pilihan kami untuk dibawa pulang. Selepas itu, bas yang kami naiki memulakan perjalanan ke sebuah lagi restoran di kawasan subbandar Jogjakarta bagi makan tengah hari.

1.15 petang
            Setelah selesai makan tengah hari dan menunaikan solat di surau restoran terbabit, kami meneruskan perjalanan yang agak jauh untuk kembali ke bandar Solo yang mula-mula kami jejaki sebaik sahaja turun dari pesawat. Sepanjang perjalanan, sebahagian besar daripada guru dan pelajar melelapkan mata mungkin kerana kepenatan setelah puas berjalan-jalan di Jogjakarta pada awalnya. Namun, keletah Cik Rahmi banyak menghidupkan suasana di dalam bas, menjadikan perjalanan tersebut tidak terlalu membosankan.

4.00 petang
     Bas yang dinaiki akhirnya memasuki kawasan Solo. Kami terus dibawa menuju ke kawasan bandar utama yang amat sibuk dengan kenderaan bagi ke lokasi lawatan yang berikutnya, iaitu Pasar Klewer. Sebaik sahaja menuruni bas, kami dipelawa oleh beberapa pemandu beca untuk menaiki pengangkutan tersebut agar lebih cepat sampai ke pasar tersebut. Ada guru dan pelajar yang menerima pelawaan tersebut, manakala ahli rombongan yang lain pula ingin berjalan kaki sahaja.
      Pasar Klewer merupakan antara tempat tumpuan para pelancong yang datang ke Solo, dek kerana terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis kain batik berkualiti tinggi pada harga yang cukup rendah. Namun begitu, ketika kami tiba di situ, kebanyakan kedai sudah mula untuk ditutup kerana waktu operasinya berakhir pada jam 5.00 petang. Oleh yang demikian, kebanyakan ahli rombongan yang pergi ke situ hanya sempat melihat sebilangan kedai dan membeli hanya sedikit barangan berasaskan batik.

5.30 petang
         Setelah mengunjungi Pasar Klewer, kami dibawa mengelilingi bandar Solo sementara menantikan waktu yang sesuai untuk menikmati makan malam. Kembara kami tersebut diiringi penerangan daripada Cik Rahmi yang banyak membantu ahli rombongan mengenali bandar tersebut, yang juga dikenali sebagai Surakarta dengan lebih dekat. Dalam kebanyakan aspek, suasana di situ tidak ubah seperti apa yang kami lihat sewaktu di Jogjakarta tempoh hari; campuran kemodenan dan unsur tradisional yang masih bertahan sehingga kini.

6.45 petang
        Kami tiba juga di restoran yang menjadi lokasi makan malam terakhir ahli rombongan di bumi Indonesia ini. Peluang terakhir ini tidak dilepaskan oleh kebanyakan guru dan pelajar untuk merakamkan gambar-gambar yang pastinya akan menambahkan memori manis dalam diri mereka. Satu perkara yang harus diakui ialah makanan yang dihidangkan pada malam itu juga amat sedap dan menyelerakan.
Namun begitu, ada juga pelajar yang sudah mula membayangkan makanan di SAMURA tatkala lawatan mereka akan berakhir pada hari esok. Hal yang demikian menyedarkan para pelajar, terutamanya pelajar tingkatan 5 bahawa sebaik sahaja selesainya program ini, mereka akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa sebagai calon SPM 2011 dan terus berusaha ke arah kecemerlangan agar nama SAMURA akan terus sentiasa terjulang.

9.00 malam
        Rombongan tiba di tempat penginapan terakhir, iaitu Hotel Ibis yang terletak di pinggir bandar Solo. Sementara menanti pembahagian kunci kamar, beberapa pelajar sempat menggunakan kemudahan internet perrcuma di lobi hotel itu untuk berhubung dengan keluarga dan rakan di Malaysia melalui laman sosial Facebook dan Twitter. Ternyata sekali mereka tidak sabar dan teruja untuk kembali memijak bumi Malaysia yang semakin mereka rindui.
             Cuaca hujan menghalang kebanyakan ahli rombongan untuk bersiar-siar di kawasan sekitar hotel. Oleh yang demikian, mereka membuat keputusan untuk merehatkan badan di bilik masing-masing dan mula berkemas sebelum pulang ke Malaysia. Tambahan pula, bilik yang disediakan kelihatan cukup mewah dan mempunyai nilai elegan yang amat tinggi. Akhirnya, kesemua ahli rombongan melelapkan mata sambil cuba menyelami malam terakhir mereka di bumi Solo ini.

23 OKTOBER 2011
8.15 pagi
          Selepas bersarapan dan mendaftar keluar dari hotel, ahli rombongan dibawa terlebih dahulu mengunjungi semula Pasar Klewer bagi melunaskan urusan pembelian cenderamata yang diinginkan. Namun, sebelum itu kami dibawa ke sebuah kedai menjual kraf tangan berkualiti tinggi, iaitu Javenir yang terletak di pinggir bandar Solo. Barangan bermutu tinggi yang dijual pada harga berpatutan membuatkan ramai guru dan pelajar berbelanja di kedai itu.

10.00 pagi
   Kami tiba di Pasar Klewer. Kebanyakan kedai sudah pun memulakan operasi, memudahkan ahli rombongan untuk meninjau barangan yang sesuai untuk dimiliki dan dibawa pulang. Pada masa yang sama, sebilangan guru dan pelajar mengambil kesempatan menggunakan pengangkutan beca yang disediakan. Walaupun beca di sekitar kawasan Solo itu tidak setanding dengan beca di Melaka, namun pengalaman menaikinya merupakan sesuatu yang amat unik dan berharga sekali.
          Selepas puas bersiar-siar dan mencuci mata di kawasan sekitar, sudah tiba masanya untuk kami meninggalkan Pasar Klewer, sekaligus mengakhiri kembara 5 hari kami di bumi Indonesia ini. Sesungguhnya, telah banyak pengalaman dan pengetahuan yang ditimba sepanjang lawatan ini. Sepanjang perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Adi Suemarmo, Solo, sebilangan ahli rombongan tidak melepaskan peluang merakamkan panorama Solo dari dalam bas sebagai antara kenangan terakhir mereka.

11.45 pagi
          Kami tiba di lapangan terbang yang dimaksudkan. Tidak lama selepas ketibaan kami di situ, kaunter tiket ke Kuala Lumpur mula dibuka. Tanpa berlengah lagi, semua ahli rombongan mendaftar masuk di kaunter tersebut dan terus menuju ke balai perlepasan. Selepas melepasi pemeriksaan imigresen, semua ahli rombongan menunggu kebenaran untuk memasuki pesawat.

1.00 petang
       Ahli rombongan mula memasuki pesawat dan mengambil tempat masing-masing. Sebaik sahaja pesawat berlepas pada jam 1.15 petang, ramai dalam kalangan guru dan pelajar menggunakan ruang waktu yang ada untuk melelapkan mata dan merehatkan badan setelah mengharungi satu pengembaraan yang agak lama tetapi mengujakan. Suasana senyap menyelubungi kabin pesawat sepanjang penerbangan yang memakan masa 2 jam 15 minit itu.

3.30 petang
      Pesawat yang kami naiki akhirnya mendarat di LCCT, Sepang. Perasaan lega menguasai benak fikiran kami tatkala sudah selamat sampai di tanah air yang dirindui selama 5 hari ini. Pesawat Air Asia itu kami tinggalkan sambil membawa bersama seribu satu memori berharga yang kami peroleh semasa berada di Jogjakarta dan Solo. Selepas mengambil bagasi masing-masing, ahli rombongan terus menuju ke ruang ketibaan dan menghala ke arah bas sekolah yang telah menunggu sejak jam 3.00 petang lagi.

4.30 petang
           Perjalanan kami menaiki bas sekolah bermula setelah semua ahli rombongan berada di dalamnya. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di kawasan R&R Seremban (Arah Selatan) bagi menunaikan solat dan membeli sedikit makanan ringan untuk dimakan sewaktu dalam perjalanan. Kemudian, perjalanan diteruskan sehingga kami dapat lihat bumi bertuah SAMURA yang kami rasa agak lama ditinggalkan. Sebaik sahaja memijakkan kaki di bumi SAMURA pada jam 7.15 petang, para pelajar bersalaman dengan guru-guru sebagai tanda terima kasih atas kesabaran mereka dalam melayan kerenah mereka sepanjang program tersebut.
            Tidak dapat disangkal lagi, program pengantarabangsaan ke Jogjakarta dan Solo ini membuka satu lagi lembaran dalam usaha SAMURA meluaskan jaringan bukan sahaja ke seluruh Nusantara, malah mungkin ke seantero dunia. Lawatan ke sekolah-sekolah dan institusi pengajian memberi peluang kepada guru dan pelajar untuk diberi pendedahan berkenaan pelbagai aspek yang mampu menambah baik lagi sistem pendidikan sedia ada di SAMURA. Pendek kata, lawatan kali ini menjadi titik tolak kepada usaha mengangkat SAMURA di mata dunia, selaras dengan statusnya sebagai sekolah berprestasi tinggi di Malaysia. Terima kasih Jogjakarta dan Solo; semoga kita berjumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan