Assalamualaikum....
Baiklah, kali ini, saya akan menceritakan pengalaman saya semasa mengikuti program Pengantarabangsaan ke Singapura pada 13 Oktober yang lepas. Apa yang 'best'nya, semua perbelanjaan dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan SBT yang diberi kepada SAMURA. Hihihi... :-P
7.00 PAGI
Para pelajar berkumpul di
hadapan Bilik Gerakan Warden. Turut kelihatan 4 orang guru serta 4 orang staf
sokongan yang mengikuti lawatan ini.
Kami memulakan perjalanan kira-kira
setengah jam kemudian menaiki bas dua tingkat (double-decker). Dalam
perjalanan, kami singgah sebentar di kawasan R&R Pagoh.
10.30 PAGI
Kami tiba di Kompleks
Imigresen Sultan Abu Bakar yang terletak di LinKedua, sebelum menyeberangi
jambatan yang merentasi Selat Tebrau. Selesai urusan imigresen di Kompleks
Imigresen Singapura, kami terus menuju ke Madrasah al-Junied al-Islamiah yang
terletak di Victoria Lane. Dalam perjalanan ke sana, mata kami tidak lekang
daripada melihat keunikan seni bina bangunan di Singapura yang begitu moden dan
futuristik.
11.45 PAGI
Kami tiba di Madrasah
al-Junied.
Ketibaan kami disambut oleh Penolong Timbalan Pengetua sekolah itu,
Cik Khairina Zainal Abidin yang turut memberi penerangan secara ringkas dan
terperinci tentang perjalanan pengurusan sekolah itu. Selepas itu, Tn. Hj.
Jaaffar selaku Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum SAMURA menyampaikan ucapan
balas serta menyampaikan rasa penghargaan kepada pihak pentadbiran Madrasah
al-Junied kerana sudi menerima kehadiran rombongan dari SAMURA.
Selepas upacara pertukaran
cenderamata dan makan tengah hari, kami dibawa melawat ke sekitar sekolah
tersebut.
Kami berasa kagum dengan kemajuan infrastruktur yang terdapat di
sekolah itu, malah kami berasa lebih kagum apabila dimaklumkan bahawa kemudahan
yang terdapat di situ adalah hasil sumbangan daripada ibu bapa pelajar sendiri.
Pujian seharusnya diberikan kepada mereka kerana sanggup berkorban dari segi
masa dan tenaga demi memastikan syiar Islam terus subur dalam kalangan generasi
muda Melayu di bumi Temasik ini.
Sebelum melangkah keluar,
kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto untuk dijadikan sebagai
bukti kunjungan ke Madrasah al-Junied ini. Andai ada peluang, ingin sekali kami
bertandang ke sekolah ini lagi.
2.30 PETANG
Sebelum
meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, kami singgah di Masjid Sultan
untuk menunaikan solat. Kemudian, kami dibawa ke The Merlion bagi merakamkan
lebih banyak gambar untuk menjadi tatapan keluarga dan rakan apabila kembali ke
Malaysia.
Kemudian, kami terus menuju ke destinasi terakhir: Universal Studios
Singapura (USS) di Pulau Sentosa.
3.45 PETANG
Di
USS, para pelajar, guru dan staf sokongan melakukan aktiviti secara individu.
Ada yang mengambil lebih banyak gambar, termasuklah gambar glob Universal
Studios yang masyhur itu, manakala ada pula yang membeli cenderamata tanda
kenang-kenangan untuk dibawa pulang.
Terbit suatu rasa kepuasan dalam hati
kerana walaupun tidak dapat memasuki kawasan USS, pengalaman berada di
pekarangan USS tetap mengujakan dan tidak mampu kami lupakan. Jika tiada aral
melintang, pasti USS akan menjadi destinasi wajib kunjung pada masa yang akan
datang.
5.00 PETANG
Setelah
puas menghabiskan masa di pekarangan USS yang begitu luas itu, akhirnya kami
memulakan perjalanan pulang ke SAMURA. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar
di kawasan R&R Machap untuk menjamu selera serta menunaikan solat.
Sungguhpun berasa amat letih kerana seharian mengembara, namun sebahagian besar
daripada kami tetap gembira kerana dapat memijakkan kaki ke Kota Singa buat
kali pertama. Semoga kunjungan ini bukanlah yang pertama dan terakhir buat
kami. Kami tiba di SAMURA pada kira-kira jam 10.00 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan