(Coretan ini saya karang untuk dibaca oleh sesiapa jua)
Kepada:
- Datuk Dr. S. Subramaniam (Ahli Parlimen Segamat)
- Anuar bin Abd. Manap (Ahli Parlimen Sekijang)
- Datuk Chua Tee Yong (Ahli Perlimen Labis)
- Norshida binti Ibrahim (ADUN Buloh Kasap)
- Tan Chen Choon (ADUN Jementah)
- Lau Chin Hoon (ADUN Pemanis)
- Datuk Hj. Ayub bin Rahmat (ADUN Kemelah)
- Mohd Azahar bin Ibrahim (ADUN Tenang)
- Lin Eng Guan (ADUN Bekok)
Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kepada anda kerana telah dipilih oleh kira-kira 127 789 pengundi yang menjadi suara kepada keseluruhan komuniti di Segamat ini usai Pilihan Raya Umum ke-13. Apa-apa pun, adalah diharapkan agar amanah yang telah diberikan ini dapat anda jalankan dengan penuh dedikasi, telus & sebaik mungkin. Namun, ini bukanlah perkara utama yang ingin saya kisahkan di sini.
Saya dilahirkan, dibesarkan, & menetap di Segamat. Sepanjang usia saya yang sudah melangkau angka 19, 2 tahun saya habiskan di daerah Ledang kerana belajar di SM Sains Muar (SAMURA), & setahun lagi saya berada di Kuala Lumpur sebagai pelajar Pusat Asasi Sains UM (PASUM). Namun, Segamat tak pernah lenyap dari minda & jiwa saya. Beberapa perkara yang ingin saya izharkan seketika nanti adalah perspektif saya secara peribadi & hanyalah bersifat pandangan semata-mata. Walau bagaimanapun, besar harapan saya agar anda dapat setidak-tidaknya memperhalusinya hatta seminima cuma untuk kemaslahatan bersama pada masa hadapan.
Saya melihat pembangunan di Segamat ini bersifat sederhana. Kemajuan itu tetap ada, tetapi dalam skala yang kecil. Mungkin bagi yang tidak pernah mengembara keluar dari Segamat, mereka akan merasakan bahawa itu sudah mencukupi. Namun, jika dibandingkan dengan daerah-daerah yang berjiran, mahu tidak mahu perlu saya katakan daerah ini agak ketinggalan. Muar semakin berwarna-warni panoramanya, lebih-lebih lagi setelah diisytiharkan sebagai bandar diRaja negeri Johor. Di Batu Pahat, pelbagai kilang berprofil tinggi merancakkan sektor perindustrian di situ. Saya yakin ramai penduduk Segamat yang mahu melihat pembangunan secara tampak/ketara, namun pada masa yang sama terus mengekalkan nilai estetika yang menjelmakan keunikan daerah ini sendiri.
61.8% ekonomi Segamat dijana oleh sektor pertanian. Maka, saya melihat Segamat memiliki potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab agro-pelancongan (pelancongan berasaskan pertanian). Kawasan ladang & dusun yang berserakan di bumi bertuah ini, terutamanya di kawasan Felda mampu dimanfaatkan bagi menarik orang ramai untuk merasai suasana hijau di Segamat. Pelancong akan dapat menyelami kehidupan kampung, menuai & menikmati hasil bumi yang tumbuh di sini, serta mengagumi seni bina sebilangan bangunan pra-kemerdekaan yang ada di sekitar bandar Segamat sebagai aktiviti sampingan. Keenakan durian yang menjadi identiti utama warga Segamat turut mampu dikomersialkan secara maksima melalui inisiatif sebegini, selain daripada perancangan pertanian yang pragmatik. Pembangunan pelancongan sebegini sudah pasti akan memunculkan peluang pekerjaan yang banyak untuk penduduk tempatan, terutamanya golongan muda & mereka yang tinggal di kawasan yang berkaitan.
Johor sememangnya terkenal dengan budayanya yang telah wujud sejak zaman kerajaan Johor-Riau-Lingga. Sebut sahaja zapin & ghazal, rakyat Malaysia sudah pasti akan mengaitkannya dengan Johor. Selaras dengan itu, saya merasakan bahawa aktiviti kebudayaan di Segamat ini boleh diperbanyakkan ke setiap komuniti. Bagi merealisasikan hasrat ini, saya rasa adalah molek jika anda dapat meminta Yayasan Warisan Johor untuk membuka cawangan pejabatnya di sini bagi memudahkan penduduk di utara Johor dalam mendapatkan informasi yang berkaitan. Melalui cara ini, generasi muda seperti saya akan berasa lebih dekat dengan warisan berharga ini & secara tidak langsung akan jatuh cinta dengannya. Hasilnya, zapin & ghazal akan terus subur di bumi Johor untuk jangka masa yang panjang. Dalam masa yang sama, budaya ini mampu menjadi satu lagi produk pelancongan di Segamat.
Seperti yang saya nyatakan di awal coretan ini, saya pernah belajar di SAMURA. Namun jika dilihat, kesemua daerah utama di Johor memiliki sekurang-kurangnya satu SBP atau MRSM, kecuali Segamat & Kulaijaya. Lihat sahaja SAMURA di Ledang, SEHEBAT (Batu Pahat), STF (Johor Bahru), SAKTI (Kota Tinggi), SMSSI (Mersing) serta SMSJ & SASEM (Kluang). Tak lupa juga, wujudnya MRSM di Muar, Batu Pahat, Pontian, Mersing & yang terbaharu di Johor Bahru. Maka, adalah amat wajar untuk golongan pelajar sekolah di Segamat untuk turut sama merasai suasana akademik yang berbeza & diyakini mampu menjadi batu loncatan untuk mereka melangkah lebih jauh dalam pelajaran. Terbinanya satu SBP atau MRSM di Segamat akan menjadi satu penanda aras yang signifikan dalam kemajuan pendidikan di daerah ini.
Secara dasarnya, inilah sahaja yang mampu saya luahkan. Mungkin kapastiti saya sebagai seorang remaja menyukarkan saya untuk menyalurkan lebih banyak idea. Namun, saya harap sekurang-kurangnya satu atau dua isu yang saya timbulkan ini akan diberi pertimbangan sewajar-wajarnya oleh pihak anda. Saya cuma ingin sebuah Segamat yang lebih baik.
- Saya ingin Segamat lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan daripada hanya dipanggil 'tempat banjir'. Semasa saya di KL, ada dua atau tiga orang yang bertanya "Rumah awak ada kena banjir tak?" sebaik sahaja mereka mengetahui bahawa saya tinggal di Segamat.
- Saya ingin anak-anak muda di Segamat minat untuk bermain gambus & belajar langkah Padang Sari, kerana saya percaya di situ letaknya jatidiri & asal-usul mereka. Amat penting untuk mereka sentiasa berbalik kepada asal-usul walau di mana mereka berpijak.
- Saya ingin melihat bangunan SM Sains Segamat atau pun MRSM Segamat kerana saya pernah belajar dalam suasana seperti itu, & saya rasa amat bertanggung jawab untuk berkongsi pengalaman berharga tersebut kepada seberapa ramai pelajar yang boleh, lebih-lebih lagi di tanah kelahiran saya sendiri.
5 tahun yang akan datang bakal menyaksikan sama ada luahan saya ini mampu dizahirkan ke dalam bentuk yang nyata, atau sebaliknya. Jika tidak pun, cukup sekadar mengizharkan apa-apa jua bentuk kemajuan yang lebih kurang setara dengannya. Sudah tiba masa untuk Segamat muncul sebagai suatu lokasi yang memungkinkan pelbagai kejayaan untuk segenap strata mujtamak.
Saya bakal menjadi pengundi pertama kali sewaktu PRU-14. Oleh itu, tempoh 5 tahun harus anda gunakan dengan penuh bijak agar penduduk daerah ini secara kolektifnya akan mampu tersenyum bangga melihat tempat tinggal mereka terus maju & makmur. Seandainya tidak, output yang bakal dizahirkan pada PRU-14 nanti menjadi satu indikator jelas tahap penerimaan mereka terhadap anda.
Saya hanya seorang remaja biasa yang sayang akan tanah tumpah darahnya. Saya harap perasaan yang sama mampu terbit di benak atma anda.
Selamat menjalankan tugas, para YB. All the best. :-)
12.25 pagi, 8 Mei 2013.
saya pulak berharap agar kg melayu raya dapat dimajukan walaupun setelah 19 tahun baru nak ada bus stop. kbai.
BalasPadamterbaek...makcik aku penghuni LADANG WELCH...itu tempat mmg ada potensi untuk jadikan rizab pelancongan...kita yg x belajar pandai ni pon Nampak potensi pelancongan kat situ..syabas!
BalasPadam