Assalamu'alaikum..
Wow, long time no blogging. Jadi sementara saya ada masa, baik tulis pasal hal-hal terkini, kan? Baiklah, let's get going.
Ketika saya menaip blog post ni, sudah lebih 3 minggu saya sekeluarga pulang dari mengerjakan umrah. Alhamdulillah, dapat juga menunaikan apa yang digelar 'haji kecil' itu. Kami memulakan kembara pada 25 Mei yang lalu. Selain daripada satu famili, nenda saya (ibu kepada ayah saya) turut ikut sama.
Pada mulanya, sememangnya saya rasa teruja, bukan sahaja kerana dapat ke Mekah, tapi sebab itulah kali pertama (& harap-harapnya bukan yang terakhir) saya menaiki penerbangan antarabangsa dari KLIA. Yalah, pertama kali naik aerotren & pergi ke bangunan satelit merupakan satu pengalaman baharu yang best.
Pesawat yang kami naiki ialah Boeing 777-200ER milik Penerbangan Arab Saudi (Saudia) yang akan mendarat di Jeddah. Perjalanannya mengambil masa kira-kira 8 jam dan kami berlepas pada jam 4 petang.
Nak dipendekkan cerita, 8 jam kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah kira-kira jam 8.30 malam. Perbezaan zon masa menyebabkan kami tiba pada waktu itu, bukannya 12 tengah malam jika dikira secara terus.
Sepanjang perjalanan dari Jeddah ke Madinah (5 jam), kami cuma tidur kerana sudah waktu malam, selain kepenatan kerana berada di dalam pesawat. Kira-kira jam 1 pagi, kami tiba juga di hotel yang berhampiran dengan Masjid Nabawi. Selepas melepaskan lelah selama beberapa jam, langkah diatur untuk bersolat Subuh di masjid itu. Masuk sahaja ke dalamnya, saya dapat melihat betapa luasnya Masjid Nabawi ini. Lebih luas daripada mana-mana masjid yang pernah saya pergi sebelum ini. Keindahan seni binanya juga turut memukau mata memandang. Subhanallah.
4 hari kami habiskan di Madinah, & dalam kebanyakan masa, saya cuma tidur. Mungkin kerana terkesan daripada lesu jet (jet lag) yang dipengaruhi oleh perbezaan zon masa. 2/3 hari jugalah saya perlukan untuk beradaptasi dengan perubahan masa & cuaca. Oh ya, cuaca di sana amat kering & panas, sehingga mencecah 40°C. Kalau ada angin yang bertiup pun, angin panas yang dihembuskan. Namun, itulah ujian & cabaran semasa di sana. Ketahanan mental harus menjadi keutamaan.
Pada hari ke-2 terakhir di Madinah, saya sempat menziarahi Raudhah & memasuki makam Rasulullah. Agak terharu apabila dapat berada begitu hampir dengan junjungan mulia kita semua. Sedikit sebanyak aura daripada Rasulullah dapat saya rasakan ketika itu.
Moving on. Pada hari ke-5, kami bergerak menuju ke Mekah untuk melaksanakan rukun-rukun umrah. Setelah hampir 4 jam perjalanan, tiba juga di Tanah Suci. Semakin hampir saya dengan Masjidil Haram, semakin berdebar rasa di hati. Tak ketinggalan, menara jam Abraj al-Bait yang menjadi mercu tanda baharu kota Mekah menggamit perhatian.
Akhirnya, Kaabah yang selama ini saya lihat di TV, akhbar & internet berada juga betul-betul di hadapan mata saya. Tak berhenti saya bertakbir di dalam hati sambil meluahkan rasa syukur kerana dapat menjejakkan kaki di situ.
Tanpa melengahkan masa, kami sekeluarga terus melakukan tawaf. Seperti yang anda dapat lihat, banyak kerja pembinaan dilakukan bagi memperbesar masjid terbesar di dunia ini. Semuanya bagi menampung jemaah pada musim haji nanti. Selepas itu, kami terus melakukan sai'e dari bukit Safa ke bukit Marwah. Mujur juga kawasan di antara kedua-dua bukit itu ada penyaman udara. Sejuk sikit badan.
Sepanjang tempoh berada di Mekah, Alhamdulillah urusan saya di sana berjalan lancar. Mungkin ada lah satu atau dua perkara yang sedikit kurang menyenangkan, tapi saya diamkan sahaja. Takut terlepas cakap pula nanti. Apa-apa pun, secebis ketenangan dapat saya rasakan walaupun berada dalam lautan manusia yang beribu. Semestinya perkara itu yang semua orang harapkan ketika berada di sana.
Nak dipendekkan cerita (sekali lagi), selepas selesai urusan umrah, saya sekeluarga turut sempat menziarahi beberapa tempat yang rasanya ramai akan pergi jika turut menunaikan umrah, termasuklah Jabal Rahmah. Saya terus terbayang lagu Muara Hati, kononnya nak ambil feeling Adam & Hawa. Kononnya lah. :P
Nak dipendekkan cerita (sekali lagi), selepas selesai urusan umrah, saya sekeluarga turut sempat menziarahi beberapa tempat yang rasanya ramai akan pergi jika turut menunaikan umrah, termasuklah Jabal Rahmah. Saya terus terbayang lagu Muara Hati, kononnya nak ambil feeling Adam & Hawa. Kononnya lah. :P
Sabtu, 1 Jun. Tibalah masa untuk pulang ke Malaysia. Melalui pesawat yang sama, kami berlepas dari Jeddah pada jam 11 malam, & tiba di KLIA pada jam 1 petang keesokan harinya. Beberapa hari yang berikutnya, jet lag effect strikes again.
Konklusinya, andai diberi peluang, insya-Allah saya ingin menziarahi Tanah Suci sekali lagi. Siapa yang tak nak, kan? Once again, syukur Alhamdulillah atas rezeki yang diberi untuk berada biar pun seketika di bumi nan kudsi.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan