Apa itu patriotik, sebenarnya?
Mengibarkan Jalur Gemilang bila tiba masanya? Pergi ke Dataran Merdeka pada 31 Ogos? Menghafal lirik lagu Keranamu Malaysia?
Sesi diskusi ringkas bersama seorang rakan baru-baru ini memberi peluang untuk saya memperincikan maksud 'patriotik' itu menurut perspektif sendiri. Keprihatinannya terhadap pemahaman saya kepada istilah itu amat dihargai. Apa yang penting, idea masing-masing tetap dihormati walaupun berbeza.
Menurut kamus Dewan Edisi ke-4, 'patriotik' bermaksud bersifat sebagai patriot (orang yang mencintai & mempertahan kedaulatan negara). Jika dilihat seimbas lalu, maksudnya itu seakan-akan merujuk kepada anggota keselamatan seperti polis & tentera. Namun, kita semua sebenarnya mampu menzahirkan sifat seorang patriot dalam cara yang berbeza.
Patriotik mengikut definisi saya sendiri ialah menghargai, menyanjung & mempertahan kepelbagaian budaya & identiti yang ada di Malaysia; dalam masa yang sama memastikan kepelbagaian itu disertai dengan rasa hormat yang mutual antara satu sama lain. Selain itu, patriotik itu adalah sentiasa mengangkat martabat jati diri saya (sebagai seorang Muslim, Melayu Johor, & rakyat Malaysia) serta memastikan perkara tersebut sentiasa terjaga daripada sebarang anasir hedonisme yang datang dari luar.
OK, mungkin ada yang akan berkata bahawa saya ada semangat kenegerian bila menyentuh tentang Melayu Johor. Ya, saya mengakuinya. 17 daripada 19 tahun dalam kehidupan saya adalah di Johor. Jadi, amat mustahil untuk saya menidakkan semangat itu. Irama ghazal & zapin sudah lama bersebati dalam jiwa saya. Setiap kali tiba Hari Raya, pakaian yang saya akan pakai ialah busana ala Johor (baju Melayu teluk belanga, sampin yang berlainan warna, & seluar slack).Kenapa? Kerana itulah yang saya panggil 'jati diri', & justeru dapat saya klasifikasikan sebagai 'patriotik'; sentiasa berasa bangga dengan jati diri kita sendiri.
Namun begitu, saya sentiasa mendidik diri sendiri untuk tidak terlalu berlebihan dalam bersemangat sedemikian, kerana pada akhirnya saya merupakan warganegara Malaysia. Ada 13 negeri & 3 Wilayah Persekutuan. Ada lebih 80 suku kaum. Saya menerima & manghargai variasi tersebut. Mungkin ada yang lebih baik daripada yang lain, tapi kita semua tinggal di dalam rumah yang sama, & berteduh di bawah panji yang sama.
Hormat-menghormati & toleransi. Bagi saya, dua elemen ini merupakan ramuan perdana dalam menjadikan segenap strata mujtamak di bumi bertuah ini bersepadu menjadi suatu entiti komuniti yang diangkat sebagai visi & mimpi kepada sebilangan negara lain di seantero dunia ini. Andai anda dapat menghidupkan nilai sedemikian dalam kehidupan seharian sebagai 'orang Malaysia', saya ucapkan tahniah. Anda sudah pun menjadi seorang yang patriotik.
Sebenarnya istilah patriotik ini adalah pelbagai dari segi maksud & tafsirannya. Terpulang kepada kita dalam bercakap mengenainya, memahaminya, & menghayatinya dengan mendalam. Patriotik tidak perlu hadir hanya ketika bulan kemerdekaan sahaja. Ia boleh dijelmakan pada bila-bila masa. Jadi, soalan saya kepada anda yang sedang meneliti coretan ini:
"Apakah 'patriotik' menurut perspektif anda?"
Luahkan idea & pandangan anda di bahagian komen. Tiada salahnya berkongsi luahan minda, bukan?
Saya tinggalkan anda dengan iklan Merdeka & Hari Malaysia 2013 terbitan Petronas yang menjadi bualan hanagt ketika ini. Adakah mesejnya menjurus ke arah patriotisme? Adakah ia mencetus rasa patriotik dalam diri anda? Adakah anda kenal sesiapa yang berada di dalam iklan ini? Fikirkanlah sendiri. :-)
Ladies and gentlemen, Syafiq has left the building. ;-D
Patriotik itu cinta pada tanah air. Cinta tidak datang dengan sendiri. Sebagai generasi muda, harus peka dan ambil tahu tentang tanah airnya. Tak kenak maka tak cinta. Bila kenal tanah air, bermula dari sejarah sehingga kini, maka kita jatuh cinta dan sayang pada tanah air, seterusnya patriotisme timbul dalam diri kita in shaa Allah.
BalasPadamTerima kasih atas perkongsian ini..., saya rasa ramai yang tahu perkataan patriotik tetapi memahami maksud patriotik.. bagi pendapat saya patriotik bermaksud semangat yang wujud dalam diri seseorang individu terhadap sesuatu yang dimilikinya...( bersyukur dan gembira dengan apa yang telah dimiliki ) sekian.. :)
BalasPadamPerkongsian ini sgt bagus untuk saya belajar dan lebih memahami kisah kisah patriotik
BalasPadam