Sabtu, 27 Disember 2014

Faith in Humanity?

Baru-baru ni saya melawat CikWa (a.k.a. mak sedara) yang baru melahirkan anak ketiganya pada 14 Disember yang lepas (cantik kan tarikh tu, 14/12/14). Adib Afsyar namanya.
Lagi seorang sepupu yang nak dilayan kerenahnya.. :3
Comel kan? (^_^) Yalah, bayi mana yang tak comel pula kan.

Namun, bila saya tatap muka dia berkali-kali (sebab 'geram' sangat :3), macam-macam yang terlintas di fikiran.

Macam mana dengan kawan-kawan sebaya dia?

Ada yang dimandikan sendiri oleh alam kerana tilamnya ialah semak-samun.
Ada yang didodoikan dengan gegar dan letup huru-hara.
Ada yang lena dikelilingi putih awan dan terus lena selepas itu.
Ada yang beribukan jasad berkuman tak bernyawa di barat sebuah benua.
Ada yang berada di sekolah bukan sebagai pelajar, tapi penumpang.

Macam mana?

Kadang-kadang, objek yang nampak ringkas seperti bayi sebenarnya menyembunyikan konotasi yang amat kompleks. Tak terkira betapa banyaknya hal yang kita boleh renungkan hanya melalui seorang bayi.

Sepanjang 2014, macam-macam perkara yang menguji nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Krimea, Palestin, Syria, Ebola, feri Siwon, Ebola. Dua daripadanya terkena terus kepada kita di Malaysia. Gabungan aksara M dan H dah cukup untuk kita memahami apa yang saya maksudkan.

Bila melihat perkara sebegini berlaku, antara isu yang menjadi perhatian utama ialah nasib kanak-kanak yang terbabit. Itu buat saya terkfikir, adakah mereka yang berada di sebalik tabir konflik itu tiada nilai empati yang menginsankan manusia? (soalan yang mungkin kita dah tahu jawapannya)

Kuasa itu penting & rasanya kita semua inginkannya, tapi seperti yang kita selalu dengar,
"with great power comes great responsibility."
Sayang sekali, rasanya macam dah tak ada siapa yang hayati kata-kata di atas ni.
Takhta diburu cari, murbawan dilanggar lari. *haih*
Sudahnya, kesan domino itu berakhir di kelompok anak kecil. Mereka yang tidak tahu apa, dihujani dengan natijah malang yang berpangkal daripada amarah si dewasa yang dahagakan titisan kuasa tanpa menyedari bahawa titisan itu akan tersejat jua.

Kesian kan?

Di dalam Malaysia sendiri, tidak kurang banyak juga ujian yang melanda. Tanah Tinggi Cameron, Bukit Beruntung, banjir. Ceritera sedih si anak kecil adalah antara fokus di balik bencana. Mustahil kalau tak ada rasa sedih & sayu melihat paparan di akhbar dan berita TV berkaitan dengan bayi yang hanyut dek air bah, atau bayi yang sekelip mata tiada berbapa dan beribu.

Namun, dalam sibuk menceritakan tentang kisah-kisah sedih di dalam ruang lingkup banjir ini, ia menampakkan betapa kita di Malaysia ini masih jauh daripada menjadi matang & bertanggung jawab, terutamanya di media sosial. Sedih bila tengok ramai yang taksub dengan butang 'Kongsi' (BI: 'Share'). Entah sahih atau tidak, jumpa saja berita atau perkhabaran, terus kongsikan. Lepas dah beribu-ribu perkongsian dibuat, baru tahu rupanya berita itu palsu belaka.

Nampak macam tak adalah impak sangat bila tersalah kongsi berita macam tu. Memanglah, kalau kita yang menjadi tukang kongsinya. Cuba berada di tempat si mangsa banjir yang dapat berita seperti "kertas SPM hanyut" atau "empangan di Thailand dibuka". Mesti panik. Tak keruan fikiran. Kelam-kabut nak selamatkan diri & keadaan. Alih-alih, palsu. Tak rasa sakit hati ker macam tu? Menyusahkan.

Jadi tolonglah, (peringatan buat semua & diri saya sendiri) matangkan diri kita. Dapatkan kesahihan sebelum kongsi apa-apa khabar angin. Sentiasa ada rasa tanggung jawab di media sosial.
Tak ada gunanya berlumba nak jadi yang paling pantas sampaikan maklumat. Berlumbalah untuk jadi yang paling tepat sampaikan maklumat.
Be someone who can contribute towards humanity.
Orang ramai pun suka, kita pun dapat pahala.

Hmm, jauh kan isu yang saya kupas. Semuanya bermula dari seorang bayi.

Mengakhiri bicara kali ini (wah, dah macam kt dalam forum perdana jer bunyinya :P), baca & (cuba) hayati simbolisme saya terhadap imej di bawah ini.

Kecil.
Tangan yang segenggam memaut jari yang sebatang.
Kita adalah tangan itu.
Seramai mana pun, tetap akhirnya berpaut kepada yang satu.
Jari itu adalah perlambangan Dia. Jari itu yang kita tegakkan setiap kali mengizhar ikrar bahawa Dia itu tiada berdua.

Andai genggamnya longgar, terlepaslah pautan.
Terkapai.

Kita terlalu kecil.
Kalau nak buat tangan itu seragam geraknya pun tak mampu, rasanya hatta nak disentuh jari itu pun cuma layak kita panggil mimpi.

Kita terlalu kecil.
Kenapa perlu ada lagak gaya sang besar?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan