Ahad, 26 Februari 2012

02-02-2010

2 FEBRUARI 2010.
Aku masih ingat lagi tarikh itu.
Tarikh yang menandakan permulaan sebuah kembara. 
Kembara yang tiada bandingnya.

6.45 pagi.
Aku sudah bersiap.
Segalanya sudah tersedia.
Perjalanan sejauh 86 kilometer pun bermula.

7.30 pagi.
Aku melihat pemandangan di luar dari dalam kereta.
Sambil mendengar Riuh Pagi di Era.
Mendengar celoteh Aznil, arwah Din Beramboi, dan Chef Wan.

8.15 pagi.
Aku ternampak satu papan tanda.
Tempatku tujui sudah dekat.
Seperti biasa, aku gementar.

Turun sahaja dari kereta,
Aku disapa seorang pelajar lelaki.
Aku sudah lupa siapa dia,
Tapi aku tahu dia seorang pengawas.

Aku lihat di satu sudut yang lain,
Rakan sekelasku di SMKDBD tiba pada masa yang sama.
Gembira hatiku bercampur rasa lega,
Kerana sekurang-kurangnya aku tidak rasa terlalu terasing.

Aku pelajar ke-5 mendaftarkan diri,
Segala keperluan dan bayaran dilunaskan.
Sudah dapat ku mula rasakan,
Tempat ini terlalu gah sebagai 'alma mater'ku.

Di Dewan Besar ku ambil tempat,
Terjumpa seorang lagi kenalan.
Sudah lama ku kenali dia,
UPSR diduduki di sekolah yang sama.

Selesai acara di dewan itu,
Aku keluar sebentar ke satu tempat.
Pertama kali menjejak kaki di K-Mall,
Aku tahu itu bukan juga untuk kali terakhir.

Segala yang aku perlu sudah lengkap,
Tiba masa untuk berpisah.
Abah, Umi, KakLong, Syahida,
Begitu sedih dan sebak di dada.

Detik itu ku sendiri & tak punya sesiapa,
Kecuali Mustaffa sebagai teman.
Harusku berdikari bermulalah saatnya,
Ruang berundur sudah tiada.

Kini, itu semua hanya memori.
Kini, aku sudah melangkah pergi.
Kini, kembara ini sudah terhenti.
Kini, aku sedang berdepan realiti.

Sememangnya sukar untuk aku tinggalkan,
Ketawa dan air mata yang menambah warna.
Namun aku yakin dan terlalu pasti,
Melangkah ke SAMURA tak pernah aku sesali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan