Rabu, 26 Jun 2013

Jerebu: He Said, She Said

Hola, everyone!


Baiklah, melihat kepada gambar di atas & perkaitannya dengan isu mutakhir, saya pasti anda tahu apa yang ingin saya kisahkan. Terpanggil juga rasanya diri ini untuk menzahirkan pemerhatian yang telah dibuat sejak seminggu dua yang lepas.

Kasihan kepada mereka yang tinggal di Muar kerana terkesan daripada krisis jerebu yang melanda negara sejak 15 Jun yang lalu. Lebih teruk lagi, nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sana mencecah angka 746 pada 23 Jun 2013. Untuk rekod, nilai IPU tertinggi dalam sejarah Malaysia ialah 839 yang dicatatkan di Kuching pada 23 September 1997, & ketika itu laporan menyebut bahawa jarak penglihatan ialah hanya sehasta. Huh, memang kronik kalau macam itu.

Apa-apa pun, fokus saya kali ini ialah tindakan/pernyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia berkenaan isu ini. Sebelum menyusuri ekspresi minda saya dengan lebih jauh, ingin saya jelaskan di sini bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah pun dengan warga Indonesia. Cuma saya ingin menegur sikit kekhilafan yang diizharkan oleh pihak kiani di sana.

Seperti yang kita tahu, kebanyakan punca jerebu yang berlaku di Asia Tenggara setiap tahun ialah pembakaran kawasan pertanian di kepulauan Sumatera, & skala pencemaran yang dihasilkan adalah berbeza-beza setiap tahun. Pada 2013, entah mengapa, keadaannya menjadi amat teruk, malah menghampiri rekod jerebu terburuk dalam sejarah negara pada 1997. Orang ramai yang menerima implikasi akibat jerebu ini mengharapkan prakarsa yang pragmatik daripada pihak berkuasa dalam menangani masalah ini.

Namun kali ini, kerajaan di sana seolah-olah tidak memanfaatkan akal fikiran yang ada pada mereka dengan mengeluarkan beberapa pernyataan yang agak (atau amat tidak masuk akal).

Exhibit A
Jika ada yang tak faham gambar di atas ini, biar saya terjemahkannya:
"Baru seminggu jerebu berlaku, namun mereka sudah banyak merungut. Bagaimana pula dengan semua oksigen yang kita (Indonesia) bekalkan kepada mereka sepanjang tahun?"
- Jurucakap kerajaan Indonesia
Saya yakin perkataan 'mereka' itu merujuk kepada Malaysia & Singapura selaku negara jiran yang paling banyak menerima impak daripada jerebu yang terhasil di Sumatera. Ketepikan seketika soal salah siapa.
Secara dasarnya (serta menurut logik akal), adalah mustahil bagi seseorang itu mendakwa bahawa dia yang membekalkan oksigen kepada orang lain, sedangkan Allah (atau Tuhan, mengikut kepercayaan masing-masing) yang menciptakan oksigen itu untuk kegunaan manusia sejagat, tanpa mengira batas sempadan negara. Pada saya, pernyataan ini lebih bersifat mengelak daripada bertanggung jawab atas jerebu itu, serta bermotif melencongkannya kepada pihak lain.
Selain itu, sejak bila kerajaan Indonesia memiliki industri pembekalan oksigen? Tak pernah pula dalam sejarah sains ada saintis yang menjumpai label 'Made in Indonesia' pada molekul oksigen. Mungkin ada benarnya hutan hujan di Indonesia menghasilkan oksigen yang banyak, namun itu bukanlah alasan yang munasabah untuk kerajaan di sana menentukan hak terhadap oksigen tersebut.

Exhibit B
Bahagian atas gambar ini menunjukkan respon dari seorang menteri Indonesia terhadap tekanan daripada Singapura berkaitan isu jerebu yang saya peroleh daripada laman web akhbar negara di seberang tambak itu. Jika diterjemah, dua ayat terakhir daripada pernyataan tersebut bermaksud:
"Singapura tidak patut bersikap kebudak-budakan & membuat banyak rungutan," ujar Agong Laksono, menteri yang memberi respon Indonesia kepada wartawan. "Ini bukan yang Indonesia mahukan. Perkara ini berlaku disebabkan kehendak alam."
Pernyataan ini juga boleh disanggah atas beberapa faktor. Pertama, tidak semua kebakaran hutan yang berlaku adalah secara semula jadi (kerana kemarau & cuaca kering). Kebanyakan laporan media menyebut bahawa para petani sudah melakukan teknik 'tebang & bakar' sejak 2 bulan lalu. Kedua, dengan mengatakan bahawa perkara itu berlaku atas kehendak alam, menteri itu dilihat seakan-akan mempersoalkan kuasa tuhan dalam memberi ujian/musibah berbentuk sedemikian.
Selain itu, adalah tidak wajar jika mereka berkata bahawa Singapura bersikap keanak-anakan kerana asyik merungut tentang jerebu. Ya, mungkin ada syarikat pertanian Singapura (& Malaysia) yang terlibat dalam pembakaran itu, namun pokok pangkalnya ialah perkara tersebut berlaku di kawasan yang tertakluk kepada undang-undang Indonesia. Jadi, penguatkuasaan undang-undang yang sewajarnya perlu dilaksanakan dengan tegas, bukannya hanya berkata sesuatu yang mengguris perasaan jiran tetangga.
Bahagian bawah gambar pula boleh diterjemah sebagai yang berikut:
Menteri kebajikan rakyat turut berkata bahawa Jakarta akan menolak sebarang bentuk bantuan kewangan daripada Singapura melainkan dalam jumlah yang besar.
Wah, pernyataan yang saya boleh klasifikasikan sebagai amat angkuh. Secara lantang pihak kerajaan di sana menolak bantuan daripada Kota Singa untuk mengatasi masalah jerebu, malah tanpa rasa segan & malu (a.k.a. tak tahu malu) mahukan peruntukan yang besar jika ada bantuan yang ditawarkan. Sikap sebegini tidak sepatutnya dizahirkan, lebih-lebih lagi ketika situasi jerebu sedang meruncing. Lagi satu, apa motif sebenar kerajaan di sana meninginkan bantuan kewangan yang besar nilainya daripada Singapura (yang dibuat secara terang-terangan)? Ada udang di sebalik batu, mungkin.

Secara dasarnya, permainan 'Bangau Oh Bangau' (salah-menyalahkan antara satu sama lain) yang dimulakan oleh kerajaan Indonesia patut dihentikan. Penyelesaian secara diplomatik & muhibah perlu disegerakan bagi menghindar kesihatan berjuta-juta rakyat di negara serantau daripada terjejas. Baik kita di Malaysia, Singapura, mahu pun mereka di seberang laut mungkin ada silap masing-masing. Namun perkara mustahak yang perlu ditekankan di sini ialah penyatuan idea secara kolektif dalam menangkis permasalahan jerebu ini. Tak begitu?

All of this are just my 2 cents worth.
Chao. :-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan