Isnin, 9 September 2013

Seikō, Kanashimi, Yume


Melihat kepada imej-imej di atas, rasanya sudah mampu anda fahami akan apa yang ingin dibicarakan kali ini. Segala persoalan sejak 2-3 tahun yang lalu terjawab sudah di Buenos Aires pada 7 September baru-baru ini. Persaingan daripada tiga bandar raya untuk mendapatkan hak penganjuran Sukan Olimpik pada tahun 2020 menyaksikan bidaan oleh Tokyo berjaya mengatasi Istanbul dan Madrid untuk bergelar kota pertama di Asia untuk menjadi hos Olimpik sebanyak 2 kali (kali pertama ialah pada 1964).

Secara sepintas lalu (berdasarkan apa yang saya ingat melalui Discovery Atlas), Tokyo yang menjadi ibu negara Jepun sejak abad ke-17 merupakan metropolitan terbesar di dunia, dengan menjadi tempat tinggal kepada 35 juta orang; lebih banyak daripada keseluruhan populasi Malaysia (28 juta). Jepun secara amnya merupakan antara peneraju utama dalam pelbagai bidang di Asia. Cuba bayangkan, perkhidmatan kereta api laju (a.k.a. shinkansen) di negara itu amat efisien - dalam setahun, jadual ketibaannya di setiap stesen hanya tersasar sebanyak 36 saat.

Ketika tempoh pemilihan dijalankan, ketiga-tiga kota itu berdepan krisis tersendiri. Sepanyol masih dibelenggu kemelesetan ekonomi & penggangguran melampau; Turki berhadapan dengan penunjuk perasaan jalanan & ancaman perang saudara negara jirannya Syria; Jepun mengalami masalah dengan pencemaran radiasi Fukushima yang sudah merebak ke sekitar lautan Pasifik. Jadi, apa rasionalnya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memilih Tokyo?

Jika dilihat secara kasar, Madrid mungkin pilihan yang paling sesuai kerana ia menjanjikan sukan Olimpik yang 'termurah pernah diadakan' & jaminan bahawa sukan itu akan dapat membantu menamatkan masalah pengangguran Sepanyol. Namun, adalah terlalu awal untuk Olimpik kembali ke benua Eropah selepas London 2012. Bagi Istanbul pula, tawaran untuk mengadakan Olimpik pertama di dua benua serentak amat menarik, ditambah pula dengan kemungkinan Turki menjadi negara majoriti Islam pertama menjadi hos. Namun, keadaan semasa amat tidak memihak Istanbul, dek kerana konflik di Syria yang bersempadan dengan Turki di bahagian tenggara, serta ketidakcekapan polis menangani para pemprotes jalanan baru-baru ini.

Oleh itu, IOC dilihat memilih jalan selamat dengan meletakkan Tokyo sebagai pemenang, setelah PM Jepun (Shinzo Abe) secara peribadi memberi jaminan bahawa isu Fukushima akan diatasi segera & tidak akan mengganggu persiapan Olimpik kelak. Sejujurnya, saya memihak kepada bidaan Istanbul kerana mutakhir ini, banyak sekali paparan tentang kota itu di kaca TV (not to mention Istanbul Aku Datang also) & juga keunikan idea tentang Olimpik di 2 benua, tetapi isu keselamatan terkini menjadi liabiti utama bidaan tersebut. Jadi, saya terima hakikat bahawa Olimpik pada 2020 akan berada di bumi matahari terbit.

Kalau diikutkan, 2020 akan menjadi tahun Malaysia dijangka menjadi maju, sejajar dengan Wawasan 2020, hasil ilham Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1990. Jadi, amat signifikan rasanya andai Olimpik itu dapat dibawa buat kali pertama ke Asia Tenggara melalui Kuala Lumpur (KL). Idea penganjuran Olimpik pernah dinyatakan kepada umum, namun terhenti begitu sahaja. Saya juga turut terkesan dengan idea itu, sehingga pernah mereka logo bagi bidaan KL ke Olimpik 2020.
Logo ciptaan sendiri; diinspirasikan oleh Menara Berkembar Petronas & warna-warna rasmi Olimpik

Moving on. Ketika sesi di Buenos Aires juga, 1 daripada 3 sukan dipilih untuk ditambah ke Olimpik 2020 dan 2024. Gusti, skuasy & sofbol/besbol bersaing untuk menjadi sukan ke-26 disenaraikan. Akhirnya, gusti dipilih untuk dimasukkan semula, setelah pada mulanya disingkirkan pada Februari lalu. Keputusan ini amat mengecewakan dunia skuasy, lebih-lebih lagi buat juara dunia & kali, Datuk Nicol David yang berhempas-pulas mempromosikan skuasy untuk berada di dalam suasana Olimpik.
Bagi saya, andai gusti sudah menjadi acara tetap sejak permulaan Olimpik moden pada 1896, mengapa disingkirkan pada mulanya & kemudian dimasukkan semula? Ia menutup ruang bagi sukan lain terutamanya skuasy untuk mendapat tempat di arena Olimpik. Skuasy merupakan pintu utama bagi Malaysia untuk merasai kilauan emas pertama dalam Olimpik. Nampak gayanya, pintu itu akan terus tertutup untuk beberapa tahun akan datang.

Sudah pasti kegembiran, kesedihan & impian di sebalik semua ini adalah hak masing-masing untuk dipendam atau pun dizahirkan. Apa yang pasti, kehidupan akan berjalan seperti biasa, kecuali bagi penduduk di Tokyo pada tahun 2020 nanti.

Apa-apa pun, sukan itu baik untuk kesihatan. Batul tak?
Konichiwa Tokyo. 2020-Nen ni o ai shimashou! (^_^)V

Tiada ulasan:

Catat Ulasan