Ahad, 1 September 2013

They Can't Stop

It’s our party we can do what we want
It’s our party we can say what we want
It’s our party we can love who we want


Baiklah, saya pasti anda tertanya-tanya apa yang saya cuba sampaikan menerusi ungkapan di atas ini, bukan? Namun sebelum merungkai dengan lebih dalam ungkapan itu, izinkan saya membawa anda meninjau polemik yang semakin meruncing nun jauh di ufuk barat Asia. Disebabkan kekompleksan (BI: complexity) isu-isu yang berkaitan, saya akan cuba menyelaminya mengikut kefahaman yang saya ada.

Krisis politik yang berlaku di Mesir sudah bertambah parah, sehinggakan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana terpaksa dibawa pulang & mengambil peperiksaan di sini. Melalui perspektif saya, semua ini berpunca daripada kedengkian pihak tertentu yang terancam dengan usaha presiden negara itu, Dr. Muhammad Morsi dalam mengutuhkan prinsip Islam dalam pemerintahannya. Proses pilihan raya umum yang mengangkat kemenangan parti Ikhwanul Muslimin pimpinannya diketepikan semata-mata bagi memenuhi agenda golongan anti-Morsi (yang saya tidak ketahui sangat agendanya itu).
Namun, besar kemungkinan ia ada kaitan dengan kepentingan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu, ditambah pula dengan status negara itu sebagai antara pintu masuk utama ke Palestin yang ingin sekali ditawan oleh rejim Zionis. Jadi, mesti susah bagi AS untuk menyebarluaskan pengaruh mereka andai individu yang memimpin Mesir menyanjung tinggi nilai-nilai Islamik dalam kebanyakan masa. Sudah terang lagi bersuluh, mungkin?


Krisis yang satu lagi ini lebih kepada mencabar nilai-nilai kemanusiaan. Entah apa yang dah merasuk fikiran presiden Syria, Bashar al-Assad untuk menghapuskan penduduk negara itu dengan bermacam cara yang tidak munasabah & menyasarkan golongan tidak sepatutnya. Berdasarkan pemerhatian & pemahaman sendiri, saya melihat bahawa kedurjanaan itu dibuat bagi mengekang kemaraan mana-mana pihak yang cuba menggulingkan kerajaan ala-ala diktator pimpinan beliau. Kekejaman itu lebih nyata apabila golongan wanita & kanak-kanak menjadi mangsa serangan kimia daripada pihak tentera (which makes no sense AT ALL).
Dalam hal ini pula, kerajaan AS di bawah teraju Barack Obama berkira-kira untuk melakukan serangan terhadap pihak tentera Syria, dengan hujah bahawa kezaliman yang menimpa rakyat di sana perlu dihentikan 'dengan apa cara sekali pun'. Namun, isu yang berlaku di Syria adalah bersifat dalaman & tidak perlu rasanya campur tangan luar, tetapi AS seperti biasa sentiasa berasa teruja untuk memenangi permainan 'perang-perang' ini.

Baiklah, berbalik kepada ungkapan yang anda baca di awal 'blog post' ini. Itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada lirik lagu We Can't Stop nyanyian Miley Cyrus. Kejap, apa kaitan si Miley ini dengan isu di Asia barat? Dari segi tumpuan masyarakat antarabangsa, memang ada kaitan.


Ketika rakyat Syria (terutamanya) masih huru-hara akibat kedajalan al-Assad & ditambah pula dengan serangan gas kimia, nama Miley Cyrus tiba-tiba menjadi bualan hangat. Semuanya gara-gara persembahan '18SX'nya sewaktu Anugerah Video Muzik MTV 2013 baru-baru ini. Kolaborasinya dengan Robin Thicke di pentas Barclay's Centre, New York dikritik, dikutuk & dikecam teruk kerana penonjolan elemen seksual yang keterlaluan bagi sebuah acara yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia, serta ditonton oleh kanak-kanak.
Apa signifikannya insiden ini? Disebabkan aksinya itu, hampir seluruh dunia memberi fokus kepada kelakuan tidak senonoh Miley sehingga memudarkan isu Syria & Mesir yang berlaku dalam ruang lingkup masa yang hampir sama. Ia seakan-akan suatu lencongan (BI: diversion) agar orang ramai tidak terus membicarakan perihal di Timur tengah itu. Nampak tak permainannya di situ?

Lirik yang ada di awal artikel ini sesuai sebagai simbolisme situasi ini. Kerajaan AS (termasuk Miley Cyrus) menganggap bahawa dunia ini adalah sebuah acara parti milik mereka, & itu menjadi lesen untuk berbuat apa sahaja, berkata apa sahaja, & mencintai apa sahaja yang dimahukan (dalam hal ini, mencintai kuasa mutlak terhadap dunia, kononnya).

Namun secara keseluruhannya, saya tidak kisah. Bukan tidak kisah dengan isu di Syria & Mesir, tetapi dengan gelagat kerajaan AS.
Kenapa? Sebabnya ialah kita dapat melihat - seperti juga Miley Cyrus di VMA 2013, kerajaan AS tanpa segan silu telah menunjukkan kesewelan minda mereka untuk tatapan global. Mereka mahu satu dunia tahu bahawa mereka tidak akan berhenti menjadi sewel.

Kesian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan