Rabu, 27 November 2013

Muzik: Transformasi & Reformasi

Secara genetiknya, elemen muzik sudah ada dalam diri saya sejak lahir. Sementelah Abah & Umi merupakan guru muzik di sekolah, siapalah saya untuk menafikan darah seni yang sedia mengalir, bukan? Adik-beradik yang lain pun sama; KakLong pemain gitar amatur (very amateur), saya ahli koir Voice of Soul ketika di SAMURA, Syakir dengan geng nasyidnya di SDAR, Syahida... well, she's still 10 years old. Bakatnya itu akan datang kemudian nanti.

Minat terhadap muzik semakin bercambah pada saat saya mula memasuki alam sekolah menengah. 'Gemilang Angkasa' menjadi lirik lagu yang pertama saya karang pada usia 13 tahun, ketika Malaysia sibuk bercerita tentang istilah Soyuz TMA-11. Sejak itu, saya mula meneroka sisi kreatif dalam menulis.

Sering saja saya gunakan penulisan lirik sebagai medium luahan perasaan; marah, geram, gembira, rindu dsb. Gayanya seperti Taylor Swift, cuma dalam skala yang lebih (& amat) kecil. Sering juga saja saya gunakan gaya bahasa yang agak simbolik (a.k.a. puitis) ketika berkarya. Sebabnya? Saya tak suka luahkan perasaan secara terus terang (BI: straight forward). Penggunaan gaya puitis akan lebih menyukarkan orang lain memahami apa yang saya sampaikan. Maka, lebih mudah bagi saya meluahkan apa sahaja yang dirasakan perlu tanpa perlu risau dengan risiko mengguris perasaan mana-mana pihak.

Hingga kini, saya sudah menulis hampir 20 lirik lagu yang masih tidak bermelodi, hanya menanti masa untuk bertemu dengan komposernya. Namun, tiada satu pun yang berkisar tentang cintan-cintun. Bukan setakat kerana saya tiada 'pengalaman' berkaitan, malah kerana saya rasakan tema itu tidak mengembangkan skop pemikiran ke arah yang lebih matang. Realitinya, itulah yang sedang berlaku sekarang.
Cuba lihat top 5 terkini carta lagu Hot FM di atas ini. 4 daripadanya ialah lagu berunsur percintaan (the odd one out would be Penglipur Lara). Apa yang boleh saya simpulkan di sini? Industri muzik kita dipenuhi dengan elemen percintaan, bukannya kecintaan (sila fahami perbezaan kedua-dua istilah itu, ya). Sudah terlalu banyak lagu yang mempromosikan cinta yang bersifat romantis, & itu merupakan sesuatu yang amat tidak sihat kepada mentaliti pendengar muzik di negara ini. Dah macam tiada topik lain untuk diketengahkan melalui muzik. Huh.

Secara tidak langsung, lagu-lagu seperti ini akan 'mendidik' anak muda bahawa bercinta dalam ruang lingkup romantika itu merupakan sesuatu yang normal & tidak salah, padahal sebenarnya tidak. Berapa kerat sahajalah lagu cinta masa ini yang berlandaskan perkahwinan (ikatan cinta yang sah)? Guna sebelah jari pun boleh kira. Satu lagi yang menyedihkan, lagu-lagu yang berkaitan dengannya memiliki lirik yang amat kosong & tiada nilai-nilai linguistik yang boleh membantu mencambahkan pengetahuan tentang kosa kata.
~Bila kita mula mengadah, kita selalu keluar sama, borak panjang-panjang, makan dan tengok wayang~
~Dia mungkin bengis seperti singa, tapi dia nangis tonton cerita Korea~
Sekali baca barisan lirik di atas ini pun anda pasti tahu lagu apa, bukan? Sayang seribu kali sayang, melodi kedua-dua lagu ini memnag 'best' secara jujurnya. Namun, lirik yang terlalu kosong, tiada langsung elemen bahasa tahap tinggi, & penyelitan perkara tidak relevan (Korea? WTF!) menjadikan lagu ini dilarang keras daripada berada di dalam pemain muzik H/P saya.

Penggiat muzik kita perlu mengubah stereotaip lagu yang ingin diputarkan daripada terlalu berkiblatkan percintaan yang tidak matang. Jika ya pun, ia perlu dibataskan kepada konsep 'cinta selepas kahwin'. Dengar sajalah Teman Pengganti (Malique ft. Black) & Iris (Awie). Berasaskan kisah cinta suami isteri, lagu ini boleh dikatakan hits semasa. Lebih-lebih lagi bagi Teman Pengganti, rap daripada Malique bermain dengan penggunaan istilah & gaya bahasa berstandard tinggi. That's what you call music.

Oh ya, speaking about Malique, satu lagi lagu popular beliau ialah Aku Maafkan Kamu, yang menampilkan Jamal Abdillah. Rap di dalamnya penuh dengan kritikan sosial & diisi dengan elemen sastera berat. Namun, ramai anak muda yang menggemarinya sehingga sering berkumandang di corong radio. Tidak hairanlah bila lagu ini diiktiraf sebagai Lagu Hip-hop Terbaik pada AIM19 tahun lalu. Siapa kata lagu yang berlirik puitis tidak boleh popular? Siap menang anugerah lagi tu. Tak percaya? Cuba dengar & lihat.


Sudah tiba masanya arena muzik Malaysia keluar dari kepompong spektrum yang sama. Hentikanlah penghasilan lagu-lagu cinta yang meloyakan (BI: disgusting & pathetic). Banyakkan lagu berunsur penguasaan diri (BI: self empowerment) & motivasi, seperti Gemuruh (Faizal Tahir) serta Gemilang (Jaclyn Victor). Muzik sebegitulah yang sepatutnya menguasai carta muzik di radio, bukannya lagu yang hanya berlirikkan "cintailah aku, lautan api kan ku renang, bla bla bla...".

Secara hakikatnya juga, muzik berunsur ketuhanan (terutamanya nasyid) berada pada tahap yang sederhana - tidak diberi perhatian namun sedang mula bangkit. Apa salahnya jika gunakan genre muzik yang popular & selitkan mesej spiritual di dalamnya? Contoh terbaik, Alhamdulillah (Too Phat ft. Yasin) serta al-Haq (Mawi & AC Mizal). Ironinya, kedua-dua lagu ini bergenre rap, tapi kekal diingati sebagai lagu berisi madah keagamaan. Ketika generasi Y sibuk disogok dengan muzik sampah-sarap & sisa kumbahan dari Korea (yes, I'm a K-Pop hater), muzik rancak bersulam kisah kesedaran jiwa mampu menangkis & 'menyapu' sampah-sampah itu. Percayalah.

Kita perlukan industri muzik yang lebih bersifat intelektual - lagu-lagu yang boleh menjadi guru BM kepada penghafal liriknya, menjadi pendakwah kepada pendengarnya, & menjadi inspirasi jiwa kepada mereka yang menghayatinya. Perubahan & pembaharuan (BI: transformation & reformation) seperti itu adalah amat mustahak bagi melahirkan golongan yang bukan berhambakan muzik, tetapi bergurukan muzik. Wirama di Malaysia harus diselamatkan, & masanya ialah sekarang.

Jika tiada siapa yang ingin melakukannya,
biar saya sahaja yang mencetuskan evolusi & revolusi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan