Isnin, 2 Ogos 2010

Memori CUCI the Musical 2

Saya akan ingat tarikh ini sampai bila-bila: Khamis, 29 Julai 2010. Sebabnya cuma satu; pada malam tersebut, ada pelbagai peristiwa yang saya tak dapat lupakan.

Pertama, saya dapat menjejakkan kaki ke Istana Budaya (IB) buat pertama kali. Kedua, buat pertama kalinya juga, saya dapat menyaksikan pementasan teater, iaitu CUCI the Musical 2 a.k.a CtM2, dan ketiga, saya dapat bersama para pelakon yang menjayakan teater tersebut.

Segalanya bermula begini...

2.30 ptg: Para pelajar & guru yang ikut serta berkumpul di astaka sekolah

3.00 ptg: Perjalanan pun bermula
Sepanjang perjalanan, boleh dikatakan semua guru & pelajar terlena di dalam bas; yalah tambahan pula bagi pelajar macam saya ni yang memang tak cukup tidur di sekolah...

4.45 ptg: Singgah sebentar di Hentian R&R Seremban (arah utara) untuk solat Asar

5.00 ptg: Perjalanan disambung semula
Di dalam bas, rasa teruja sudah mula meresap dalam jiwa, tambahan pula apabila melihat Istana Budaya terpampang di depan mata

6.30 ptg: Tiba di Istana Budaya
Sebaik sahaja tiba di destinasi yang dituju, kami sempat bergambar di hadapan IB. Kemudian, guru bertugas memberi RM 5 sebagai duit belanja untuk makan malam. Jadi, semua guru & pelajar menuju ke kafeteria IB. Selepas itu, kami bersiar-siar di dalam IB sambil melihat keindahan seni bina bangunan tersebut. Segala-galanya nampak berkilauan...



7.30 mlm: Solat Maghrib & Isya' secara jama' dan Qasar di surau IB

8.00 mlm: Warga SAMURA berkumpul di pintu masuk Panggung Sari, Tingkat 3
Guru bertugas pun mengagihkan tiket kepada guru & pelajar. Kalau ikutkan, sepatutnya tiket pada hari itu diberi diskaun 20%, tapi sebab cikgu tempah tiket tu lebih awal daripada tarikh promosi tu, jadi harganya tetap sama: RM 33.

8.15 mlm: Semua masuk ke dalam Panggung Sari
Sempat juga kami meninjau sekitar dan di dalam panggung dan bergambar di dalamnya. Memang begitu luas. Walaupun di tingkat 3, namun kami dapat juga melihat pentas persembahan.



8.30 mlm: Persembahan bermula...
Tapi, sebelum tu, kami dengar pengumuman yang Raja Permaisuri Agong berkenan menyaksikan persembahan tu juga. Beruntung kami, dapat bersama-sama Tuanku Nur Zahirah menonton CtM2.

Sepanjang persembahan teater dari mula hingga ke akhirnya, saya & rakan-rakan yang lain tak henti-henti ketawa melihat gelagat Afdlin Shauki, Awie, Hans Issac dan Nabil yang membintangi CtM2. Lakonan mereka yang begitu bersahaja sememangnya menghiburkan.

Aksi lakonan daripada Vanidah Imran, Harith Iskander, Rehman Rashid serta Reefa turut menguatkan lagi teater ini. Penampilan Jaclyn Victor juga memeriahkan pentas persembahan.

Dari segi 'muzikal'nya pula, saya akui 12 buah lagu yang menyerikan CtM2 ini memberi banyak ilham buat saya untuk menghasilkan muzik yang lebih pelbagai. Ditambah pula dengan paduan suara para pelakonnya serta koreografi yang ringkas tetapi menarik, masalah teknikal yang timbul sekalipun tidak mengganggu keasyikan saya menonton CtM2.

Namun, apabila saya melihat mereka berada di atas pentas itu, tiba-tiba saya terfikir: Apa rasanya berada di atas pentas itu & membuat persembahan? Bayangkan, pentas di Panggung Sari yang begitu berprestij itu mampu saya pijak dan langkahi.

Wow, tak mampu saya bayangkan. Tapi, bila melihat pentas itu, saya teringat pepatah Inggeris: It's so close, but so far away. Maknanya, pentas itu sudah dapat saya lihat, tapi perjalanan dan kembara untuk saya berada di atas pentas itu begitu & terlalu jauh. Hai, tak apalah, mungkin suatu hari nanti, saya dapat jugalah berada di sana.

10.30 mlm: Pementasan berehat seketika...

Sempat jugalah saya disapa oleh 'super senior' SAMURA. Katanya, dia calon SPM 2008. OK, fine, bagi saya, tak ada apa-apa perasaan pun masa pertemuan tu. Sebabnya, tak tahulah...

10.45 mlm: Pementasan bersambung semula...

Kepuasan yang tidak terhingga dapat saya rasakan apabila CtM2 hampir melabuhkan tirainya, apatah lagi bila ada kesudahan yang menggembirakan (kalau nak tahu jalan cerita CtM2 ni, pergilah IB sendiri...). Pada akhirnya, semua pelakon dan mereka yang terlibat berkumpul di atas pentas, dan bergemalah tepukan yang gemuruh daripada para penonton. Niat di hati saya, nak jugalah beri standing ovation, tapi malu pula rasanya. Tak apalah, asalkan mereka sudah memberi persembahan yang TERBAIK malam itu.

12.15 mlm: Tamatlah pementasan CtM2...

Selepas itu, cepat-cepat saya turun ke tingkat bawah IB, sebab ada sesi autograf bersama pelakon CtM2. Bersama dengan beberapa orang rakan Ting. 4 yang lain, saya pun beratur untuk merakamkan saat manis ini.

Memang sesuatu yang terlalu mengujakan buat saya apabila dapat bertentang mata dan bersalaman dengan Harith Iskandar, Hans Issac dan Afdlin Shauki (Awie tiada masa tu atas sebab yang tidak diketahui).



Lebih indah lagi saat itu apabila saya dapat bergambar dengan Nabil; saya sekeluarga memang begitu meminatinya, kerana beliau memiliki apa yang sepatutnya ada pada seorang pelawak yang menghiburkan. Sememangnya, malam itu Nabil-lah yang paling banyak membuat saya ketawa sepanjang pementasan CtM2.



Apabila melihat Jaclyn Victor dan Vanidah Imran menurunkan autograf pada buku nota kecil saya, tersenyum lebar saya dibuatnya. Yalah, bukan senang nak jumpa selebriti Malaysia, ditambah pula dengan status saya sebagai pelajar SBP yang tidak memungkinkan saya untuk keluar sesuka hati, seterusnya bertemu mereka.



Malam itu merupakan malam yang amat menggembirakan buat saya, dan sememangnya saya takkan lupakan malam itu. Seribu satu memori yang tercipta masa tu akan saya kenang sampai ke akhir hayat (ye ke?)...

1.00 pg: Bermula perjalanan pulang ke SAMURA...
Rasa keterujaan masih menebal dalam diri saya, sampai saya 'tak sampai hati' nak tidur di dalam bas, dek kerana mengenangkan saat di IB. Sedar tak sedar, saya terlihat papan tanda 'MUAR' di depan mata.

3.15 pg: Rombongan tiba semula di SAMURA
Tidak putus-putus saya berterima kasih kepada Cikgu Zainudin yang menganjurkan lawatan ni. Kalau tak kerana dia, tak mungkin saya dapat menjejakkan kaki ke IB.

----------------------------------------------------------------------

Keesokan harinya, saya tak habis-habis bercerita tentang pengalaman saya di IB semalam. Ada yang menunjukkan riak wajah gembira tatkala mendengarnya; tak kurang juga yang cemburu melihat autograf yang berjaya saya dapatkan. Namun sebenarnya, saya ingin kongsikan saat-saat manis itu dengan semua orang. Malah, sedang saya menaip blog ini pun, kisah saya di IB tu masih ada di Facebook. Ditambah pula dengan gambar-gambar yang saya rakamkan semasa di sana, ramailah juga yang memberi komen.

Biarlah apa orang lain nak kata. Yang penting memori menyaksikan CtM2 di IB akan kekal terpahat di minda, hati dan jiwa saya untuk selama-lamanya.


Terima kasih daun keladi;
Ada masa, kita menCUCI lagi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan