Ahad, 30 Jun 2013

Oh! My English

Hello, y'all...!

Baiklah, disebabkan ramai yang sedang hangat bercakap tentang siri drama Oh! My English ni, rasanya tak salah kalau saya selitkan sedikit tips untuk membezakan penggunaan frasa-frasa Inggeris dalam keadaan yang berbeza. Anda boleh rujuk gambar di bawah untuk mengetahuinya. Klik pada gambar kalau rasa tak berapa nak nampak. :3
Untuk pengetahuan, info ini saya peroleh daripada guru BI saya semasa di Tingkatan 3, iaitu Cg. Winnie Tan. So, thank you Miss Winnie for this useful guide. :) Saya juga nak mohon maaf terlebih awal jika anda tak berapa nak faham apa yang saya tulis. Al maklumlah, tulisan budak terlebih skema lah katakan. :P

Jadi, harap-harap anda juga dapat memanfaatkan ilmu ini untuk pengayaan aspek bahasa Inggeris. Kalau tak berapa nak faham, maklumkan di bahagian komen, OK? saya akan cuba untuk menerangkan dengan lebih lanjut. Chao. 

Rabu, 26 Jun 2013

Jerebu: He Said, She Said

Hola, everyone!


Baiklah, melihat kepada gambar di atas & perkaitannya dengan isu mutakhir, saya pasti anda tahu apa yang ingin saya kisahkan. Terpanggil juga rasanya diri ini untuk menzahirkan pemerhatian yang telah dibuat sejak seminggu dua yang lepas.

Kasihan kepada mereka yang tinggal di Muar kerana terkesan daripada krisis jerebu yang melanda negara sejak 15 Jun yang lalu. Lebih teruk lagi, nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sana mencecah angka 746 pada 23 Jun 2013. Untuk rekod, nilai IPU tertinggi dalam sejarah Malaysia ialah 839 yang dicatatkan di Kuching pada 23 September 1997, & ketika itu laporan menyebut bahawa jarak penglihatan ialah hanya sehasta. Huh, memang kronik kalau macam itu.

Apa-apa pun, fokus saya kali ini ialah tindakan/pernyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia berkenaan isu ini. Sebelum menyusuri ekspresi minda saya dengan lebih jauh, ingin saya jelaskan di sini bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah pun dengan warga Indonesia. Cuma saya ingin menegur sikit kekhilafan yang diizharkan oleh pihak kiani di sana.

Seperti yang kita tahu, kebanyakan punca jerebu yang berlaku di Asia Tenggara setiap tahun ialah pembakaran kawasan pertanian di kepulauan Sumatera, & skala pencemaran yang dihasilkan adalah berbeza-beza setiap tahun. Pada 2013, entah mengapa, keadaannya menjadi amat teruk, malah menghampiri rekod jerebu terburuk dalam sejarah negara pada 1997. Orang ramai yang menerima implikasi akibat jerebu ini mengharapkan prakarsa yang pragmatik daripada pihak berkuasa dalam menangani masalah ini.

Namun kali ini, kerajaan di sana seolah-olah tidak memanfaatkan akal fikiran yang ada pada mereka dengan mengeluarkan beberapa pernyataan yang agak (atau amat tidak masuk akal).

Exhibit A
Jika ada yang tak faham gambar di atas ini, biar saya terjemahkannya:
"Baru seminggu jerebu berlaku, namun mereka sudah banyak merungut. Bagaimana pula dengan semua oksigen yang kita (Indonesia) bekalkan kepada mereka sepanjang tahun?"
- Jurucakap kerajaan Indonesia
Saya yakin perkataan 'mereka' itu merujuk kepada Malaysia & Singapura selaku negara jiran yang paling banyak menerima impak daripada jerebu yang terhasil di Sumatera. Ketepikan seketika soal salah siapa.
Secara dasarnya (serta menurut logik akal), adalah mustahil bagi seseorang itu mendakwa bahawa dia yang membekalkan oksigen kepada orang lain, sedangkan Allah (atau Tuhan, mengikut kepercayaan masing-masing) yang menciptakan oksigen itu untuk kegunaan manusia sejagat, tanpa mengira batas sempadan negara. Pada saya, pernyataan ini lebih bersifat mengelak daripada bertanggung jawab atas jerebu itu, serta bermotif melencongkannya kepada pihak lain.
Selain itu, sejak bila kerajaan Indonesia memiliki industri pembekalan oksigen? Tak pernah pula dalam sejarah sains ada saintis yang menjumpai label 'Made in Indonesia' pada molekul oksigen. Mungkin ada benarnya hutan hujan di Indonesia menghasilkan oksigen yang banyak, namun itu bukanlah alasan yang munasabah untuk kerajaan di sana menentukan hak terhadap oksigen tersebut.

Exhibit B
Bahagian atas gambar ini menunjukkan respon dari seorang menteri Indonesia terhadap tekanan daripada Singapura berkaitan isu jerebu yang saya peroleh daripada laman web akhbar negara di seberang tambak itu. Jika diterjemah, dua ayat terakhir daripada pernyataan tersebut bermaksud:
"Singapura tidak patut bersikap kebudak-budakan & membuat banyak rungutan," ujar Agong Laksono, menteri yang memberi respon Indonesia kepada wartawan. "Ini bukan yang Indonesia mahukan. Perkara ini berlaku disebabkan kehendak alam."
Pernyataan ini juga boleh disanggah atas beberapa faktor. Pertama, tidak semua kebakaran hutan yang berlaku adalah secara semula jadi (kerana kemarau & cuaca kering). Kebanyakan laporan media menyebut bahawa para petani sudah melakukan teknik 'tebang & bakar' sejak 2 bulan lalu. Kedua, dengan mengatakan bahawa perkara itu berlaku atas kehendak alam, menteri itu dilihat seakan-akan mempersoalkan kuasa tuhan dalam memberi ujian/musibah berbentuk sedemikian.
Selain itu, adalah tidak wajar jika mereka berkata bahawa Singapura bersikap keanak-anakan kerana asyik merungut tentang jerebu. Ya, mungkin ada syarikat pertanian Singapura (& Malaysia) yang terlibat dalam pembakaran itu, namun pokok pangkalnya ialah perkara tersebut berlaku di kawasan yang tertakluk kepada undang-undang Indonesia. Jadi, penguatkuasaan undang-undang yang sewajarnya perlu dilaksanakan dengan tegas, bukannya hanya berkata sesuatu yang mengguris perasaan jiran tetangga.
Bahagian bawah gambar pula boleh diterjemah sebagai yang berikut:
Menteri kebajikan rakyat turut berkata bahawa Jakarta akan menolak sebarang bentuk bantuan kewangan daripada Singapura melainkan dalam jumlah yang besar.
Wah, pernyataan yang saya boleh klasifikasikan sebagai amat angkuh. Secara lantang pihak kerajaan di sana menolak bantuan daripada Kota Singa untuk mengatasi masalah jerebu, malah tanpa rasa segan & malu (a.k.a. tak tahu malu) mahukan peruntukan yang besar jika ada bantuan yang ditawarkan. Sikap sebegini tidak sepatutnya dizahirkan, lebih-lebih lagi ketika situasi jerebu sedang meruncing. Lagi satu, apa motif sebenar kerajaan di sana meninginkan bantuan kewangan yang besar nilainya daripada Singapura (yang dibuat secara terang-terangan)? Ada udang di sebalik batu, mungkin.

Secara dasarnya, permainan 'Bangau Oh Bangau' (salah-menyalahkan antara satu sama lain) yang dimulakan oleh kerajaan Indonesia patut dihentikan. Penyelesaian secara diplomatik & muhibah perlu disegerakan bagi menghindar kesihatan berjuta-juta rakyat di negara serantau daripada terjejas. Baik kita di Malaysia, Singapura, mahu pun mereka di seberang laut mungkin ada silap masing-masing. Namun perkara mustahak yang perlu ditekankan di sini ialah penyatuan idea secara kolektif dalam menangkis permasalahan jerebu ini. Tak begitu?

All of this are just my 2 cents worth.
Chao. :-)

97 Marhalah

Assalamu'alaikum..

Wow, long time no blogging. Jadi sementara saya ada masa, baik tulis pasal hal-hal terkini, kan? Baiklah, let's get going.

Ketika saya menaip blog post ni, sudah lebih 3 minggu saya sekeluarga pulang dari mengerjakan umrah. Alhamdulillah, dapat juga menunaikan apa yang digelar 'haji kecil' itu. Kami memulakan kembara pada 25 Mei yang lalu. Selain daripada satu famili, nenda saya (ibu kepada ayah saya) turut ikut sama.
Pada mulanya, sememangnya saya rasa teruja, bukan sahaja kerana dapat ke Mekah, tapi sebab itulah kali pertama (& harap-harapnya bukan yang terakhir) saya menaiki penerbangan antarabangsa dari KLIA. Yalah, pertama kali naik aerotren & pergi ke bangunan satelit merupakan satu pengalaman baharu yang best.
Pesawat yang kami naiki ialah Boeing 777-200ER milik Penerbangan Arab Saudi (Saudia) yang akan mendarat di Jeddah. Perjalanannya mengambil masa kira-kira 8 jam dan kami berlepas pada jam 4 petang.

Nak dipendekkan cerita, 8 jam kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah kira-kira jam 8.30 malam. Perbezaan zon masa menyebabkan kami tiba pada waktu itu, bukannya 12 tengah malam jika dikira secara terus.
Sepanjang perjalanan dari Jeddah ke Madinah (5 jam), kami cuma tidur kerana sudah waktu malam, selain kepenatan kerana berada di dalam pesawat. Kira-kira jam 1 pagi, kami tiba juga di hotel yang berhampiran dengan Masjid Nabawi. Selepas melepaskan lelah selama beberapa jam, langkah diatur untuk bersolat Subuh di masjid itu. Masuk sahaja ke dalamnya, saya dapat melihat betapa luasnya Masjid Nabawi ini. Lebih luas daripada mana-mana masjid yang pernah saya pergi sebelum ini. Keindahan seni binanya juga turut memukau mata memandang. Subhanallah.
4 hari kami habiskan di Madinah, & dalam kebanyakan masa, saya cuma tidur. Mungkin kerana terkesan daripada lesu jet (jet lag) yang dipengaruhi oleh perbezaan zon masa. 2/3 hari jugalah saya perlukan untuk beradaptasi dengan perubahan masa & cuaca. Oh ya, cuaca di sana amat kering & panas, sehingga mencecah 40°C. Kalau ada angin yang bertiup pun, angin panas yang dihembuskan. Namun, itulah ujian & cabaran semasa di sana. Ketahanan mental harus menjadi keutamaan.
Pada hari ke-2 terakhir di Madinah, saya sempat menziarahi Raudhah & memasuki makam Rasulullah. Agak terharu apabila dapat berada begitu hampir dengan junjungan mulia kita semua. Sedikit sebanyak aura daripada Rasulullah dapat saya rasakan ketika itu.

Moving on. Pada hari ke-5, kami bergerak menuju ke Mekah untuk melaksanakan rukun-rukun umrah. Setelah hampir 4 jam perjalanan, tiba juga di Tanah Suci. Semakin hampir saya dengan Masjidil Haram, semakin berdebar rasa di hati. Tak ketinggalan, menara jam Abraj al-Bait yang menjadi mercu tanda baharu kota Mekah menggamit perhatian.
Akhirnya, Kaabah yang selama ini saya lihat di TV, akhbar & internet berada juga betul-betul di hadapan mata saya. Tak berhenti saya bertakbir di dalam hati sambil meluahkan rasa syukur kerana dapat menjejakkan kaki di situ.
Tanpa melengahkan masa, kami sekeluarga terus melakukan tawaf. Seperti yang anda dapat lihat, banyak kerja pembinaan dilakukan bagi memperbesar masjid terbesar di dunia ini. Semuanya bagi menampung jemaah pada musim haji nanti. Selepas itu, kami terus melakukan sai'e dari bukit Safa ke bukit Marwah. Mujur juga kawasan di antara kedua-dua bukit itu ada penyaman udara. Sejuk sikit badan.

Sepanjang tempoh berada di Mekah, Alhamdulillah urusan saya di sana berjalan lancar. Mungkin ada lah satu atau dua perkara yang sedikit kurang menyenangkan, tapi saya diamkan sahaja. Takut terlepas cakap pula nanti. Apa-apa pun, secebis ketenangan dapat saya rasakan walaupun berada dalam lautan manusia yang beribu. Semestinya perkara itu yang semua orang harapkan ketika berada di sana.
Nak dipendekkan cerita (sekali lagi), selepas selesai urusan umrah, saya sekeluarga turut sempat menziarahi beberapa tempat yang rasanya ramai akan pergi jika turut menunaikan umrah, termasuklah Jabal Rahmah. Saya terus terbayang lagu Muara Hati, kononnya nak ambil feeling Adam & Hawa. Kononnya lah. :P

Sabtu, 1 Jun. Tibalah masa untuk pulang ke Malaysia. Melalui pesawat yang sama, kami berlepas dari Jeddah pada jam 11 malam, & tiba di KLIA pada jam 1 petang keesokan harinya. Beberapa hari yang berikutnya, jet lag effect strikes again. 

Konklusinya, andai diberi peluang, insya-Allah saya ingin menziarahi Tanah Suci sekali lagi. Siapa yang tak nak, kan? Once again, syukur Alhamdulillah atas rezeki yang diberi untuk berada biar pun seketika di bumi nan kudsi.

Wassalam.

Rabu, 8 Mei 2013

Coretan Buat YB

(Coretan ini saya karang untuk dibaca oleh sesiapa jua)
Kepada:
- Datuk Dr. S. Subramaniam (Ahli Parlimen Segamat)
- Anuar bin Abd. Manap (Ahli Parlimen Sekijang)
- Datuk Chua Tee Yong (Ahli Perlimen Labis)
- Norshida binti Ibrahim (ADUN Buloh Kasap)
- Tan Chen Choon (ADUN Jementah)
- Lau Chin Hoon (ADUN Pemanis)
- Datuk Hj. Ayub bin Rahmat (ADUN Kemelah)
- Mohd Azahar bin Ibrahim (ADUN Tenang)
- Lin Eng Guan (ADUN Bekok)

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kepada anda kerana telah dipilih oleh kira-kira 127 789 pengundi yang menjadi suara kepada keseluruhan komuniti di Segamat ini usai Pilihan Raya Umum ke-13. Apa-apa pun, adalah diharapkan agar amanah yang telah diberikan ini dapat anda jalankan dengan penuh dedikasi, telus & sebaik mungkin. Namun, ini bukanlah perkara utama yang ingin saya kisahkan di sini.

Saya dilahirkan, dibesarkan, & menetap di Segamat. Sepanjang usia saya yang sudah melangkau angka 19, 2 tahun saya habiskan di daerah Ledang kerana belajar di SM Sains Muar (SAMURA), & setahun lagi saya berada di Kuala Lumpur sebagai pelajar Pusat Asasi Sains UM (PASUM). Namun, Segamat tak pernah lenyap dari minda & jiwa saya. Beberapa perkara yang ingin saya izharkan seketika nanti adalah perspektif saya secara peribadi & hanyalah bersifat pandangan semata-mata. Walau bagaimanapun, besar harapan saya agar anda dapat setidak-tidaknya memperhalusinya hatta seminima cuma untuk kemaslahatan bersama pada masa hadapan.

Saya melihat pembangunan di Segamat ini bersifat sederhana. Kemajuan itu tetap ada, tetapi dalam skala yang kecil. Mungkin bagi yang tidak pernah mengembara keluar dari Segamat, mereka akan merasakan bahawa itu sudah mencukupi. Namun, jika dibandingkan dengan daerah-daerah yang berjiran, mahu tidak mahu perlu saya katakan daerah ini agak ketinggalan. Muar semakin berwarna-warni panoramanya, lebih-lebih lagi setelah diisytiharkan sebagai bandar diRaja negeri Johor. Di Batu Pahat, pelbagai kilang berprofil tinggi merancakkan sektor perindustrian di situ. Saya yakin ramai penduduk Segamat yang mahu melihat pembangunan secara tampak/ketara, namun pada masa yang sama terus mengekalkan nilai estetika yang menjelmakan keunikan daerah ini sendiri.

61.8% ekonomi Segamat dijana oleh sektor pertanian. Maka, saya melihat Segamat memiliki potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab agro-pelancongan (pelancongan berasaskan pertanian). Kawasan ladang & dusun yang berserakan di bumi bertuah ini, terutamanya di kawasan Felda mampu dimanfaatkan bagi menarik orang ramai untuk merasai suasana hijau di Segamat. Pelancong akan dapat menyelami kehidupan kampung, menuai & menikmati hasil bumi yang tumbuh di sini, serta mengagumi seni bina sebilangan bangunan pra-kemerdekaan yang ada di sekitar bandar Segamat sebagai aktiviti sampingan. Keenakan durian yang menjadi identiti utama warga Segamat turut mampu dikomersialkan secara maksima melalui inisiatif sebegini, selain daripada perancangan pertanian yang pragmatik. Pembangunan pelancongan sebegini sudah pasti akan memunculkan peluang pekerjaan yang banyak untuk penduduk tempatan, terutamanya golongan muda & mereka yang tinggal di kawasan yang berkaitan.

Johor sememangnya terkenal dengan budayanya yang telah wujud sejak zaman kerajaan Johor-Riau-Lingga. Sebut sahaja zapin & ghazal, rakyat Malaysia sudah pasti akan mengaitkannya dengan Johor. Selaras dengan itu, saya merasakan bahawa aktiviti kebudayaan di Segamat ini boleh diperbanyakkan ke setiap komuniti. Bagi merealisasikan hasrat ini, saya rasa adalah molek jika anda dapat meminta Yayasan Warisan Johor untuk membuka cawangan pejabatnya di sini bagi memudahkan penduduk di utara Johor dalam mendapatkan informasi yang berkaitan. Melalui cara ini, generasi muda seperti saya akan berasa lebih dekat dengan warisan berharga ini & secara tidak langsung akan jatuh cinta dengannya. Hasilnya, zapin & ghazal akan terus subur di bumi Johor untuk jangka masa yang panjang. Dalam masa yang sama, budaya ini mampu menjadi satu lagi produk pelancongan di Segamat.

Seperti yang saya nyatakan di awal coretan ini, saya pernah belajar di SAMURA. Namun jika dilihat, kesemua daerah utama di Johor memiliki sekurang-kurangnya satu SBP atau MRSM, kecuali Segamat & Kulaijaya. Lihat sahaja SAMURA di Ledang, SEHEBAT (Batu Pahat), STF (Johor Bahru), SAKTI (Kota Tinggi), SMSSI (Mersing) serta SMSJ & SASEM (Kluang). Tak lupa juga, wujudnya MRSM di Muar, Batu Pahat, Pontian, Mersing & yang terbaharu di Johor Bahru. Maka, adalah amat wajar untuk golongan pelajar sekolah di Segamat untuk turut sama merasai suasana akademik yang berbeza & diyakini mampu menjadi batu loncatan untuk mereka melangkah lebih jauh dalam pelajaran. Terbinanya satu SBP atau MRSM di Segamat akan menjadi satu penanda aras yang signifikan dalam kemajuan pendidikan di daerah ini.

Secara dasarnya, inilah sahaja yang mampu saya luahkan. Mungkin kapastiti saya sebagai seorang remaja menyukarkan saya untuk menyalurkan lebih banyak idea. Namun, saya harap sekurang-kurangnya satu atau dua isu yang saya timbulkan ini akan diberi pertimbangan sewajar-wajarnya oleh pihak anda. Saya cuma ingin sebuah Segamat yang lebih baik.
  • Saya ingin Segamat lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan daripada hanya dipanggil 'tempat banjir'. Semasa saya di KL, ada dua atau tiga orang yang bertanya "Rumah awak ada kena banjir tak?" sebaik sahaja mereka mengetahui bahawa saya tinggal di Segamat.
  • Saya ingin anak-anak muda di Segamat minat untuk bermain gambus & belajar langkah Padang Sari, kerana saya percaya di situ letaknya jatidiri & asal-usul mereka. Amat penting untuk mereka sentiasa berbalik kepada asal-usul walau di mana mereka berpijak.
  • Saya ingin melihat bangunan SM Sains Segamat atau pun MRSM Segamat kerana saya pernah belajar dalam suasana seperti itu, & saya rasa amat bertanggung jawab untuk berkongsi pengalaman berharga tersebut kepada seberapa ramai pelajar yang boleh, lebih-lebih lagi di tanah kelahiran saya sendiri.
5 tahun yang akan datang bakal menyaksikan sama ada luahan saya ini mampu dizahirkan ke dalam bentuk yang nyata, atau sebaliknya. Jika tidak pun, cukup sekadar mengizharkan apa-apa jua bentuk kemajuan yang lebih kurang setara dengannya. Sudah tiba masa untuk Segamat muncul sebagai suatu lokasi yang memungkinkan pelbagai kejayaan untuk segenap strata mujtamak.
Saya bakal menjadi pengundi pertama kali sewaktu PRU-14. Oleh itu, tempoh 5 tahun harus anda gunakan dengan penuh bijak agar penduduk daerah ini secara kolektifnya akan mampu tersenyum bangga melihat tempat tinggal mereka terus maju & makmur. Seandainya tidak, output yang bakal dizahirkan pada PRU-14 nanti menjadi satu indikator jelas tahap penerimaan mereka terhadap anda.

Saya hanya seorang remaja biasa yang sayang akan tanah tumpah darahnya. Saya harap perasaan yang sama mampu terbit di benak atma anda.
Selamat menjalankan tugas, para YB. All the best. :-)

12.25 pagi, 8 Mei 2013.

Jumaat, 3 Mei 2013

#Respect

Yo, wazzup!

OK-lah, saya nak kongsikan 3 perkara mutakhir yang dapat saya kaitkan dengan tajuk 'blog post' kali ini. Bukan apa, cuma saya rasa keadaan semasa ini amat sesuai untuk saya menyelongkar sejauh mana nilai hormat dalam kehidupan seharian kita.

#1
Seperti yang ramai sedia maklum, penyanyi sensasi Youtube dari Seoul, Psy telah mengeluarkan lagu terbaharunya yang berjudul 'Gentleman' (or should I say 'Gentel-man'). Sekali lagi, sama seperti lagunya sebelum ini iaitu 'Gangnam Style' (or should I say 'Jahanam Style'), video muziknya terus mengeksploitasi elemen sensual wanita, kononnya untuk menjadi halwa indera mata bagi mereka yang menontonnya. Bagi saya, Psy memang tak tahu langsung #Respect maruah kaum Hawa semata-mata untuk melariskan fenomena muziknya yang what-so-ever. Psy sememangnya mencabar norma masyarakat Asia Timur yang terkenal dengan sikap bertatasusila & menghormati budaya sezaman. They're well known as guardians of the past & masters of the future.
Dalam soal ini, saya melihat Psy sebagai hanya ingin mencari perhatian masyarakat Barat, & oleh sebab itulah dia menampilkan elemen Barat di dalam muziknya. Mungkin Psy akan berkata bahawa dia membawa budaya Korea ke tahap antarabangsa melalui cara itu (kerana lagunya adalah dalam bahasa Korea). Oh please, short skirt & pole dancing? Korea-lah 'SANGAT'. Di mana letaknya nilai #Respect terhadap ketamadunan budaya asli Korea selama ini? Perkara itu juga yang menggusarkan saya di negara sendiri; anak muda kita semakin sukar untuk memartabatkan jati diri mereka & hanya berkiblatkan elemen dari luar dalam konteks berbudaya. Sedikit sebanyak saya tahu perkara ini harus diubati segera. I'll try to figure out what I can do about that later on.

#2
Rasanya mereka yang ada siaran Astro & menonton Matserchef Selebriti Malaysia musim ke-2 sudah pasti mengerti gambar di atas. Kecoh di serata dunia media sosial selepas tamat episod ke-6, bukan kerana penyingikran Zain Saidin di hujung episod itu, tapi kerana atitud yang dia tunjukkan setelah tersingkir. Begini, 3 orang chef yang bertindak selaku juri meminta Zain untuk memberikan reaksi usai penyingkirannya. Maka, Zain pun menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pengadilan juri yang didakwanya sebagai tidak adil. Bagi saya, tiada apa yang salah tentang itu. Dia memang berhak untuk menyuarakan pendapat & memberi teguran jika dia lihat ada yang tak kena tentang itu. I'm totally OK with that.
Cuma saya (& ramai orang di luar sana) rasa panas hati apabila dia meluahkannya dengan cara yang agak (atau amat) biadap. Perlukah dia meninggikan suara di hadapan para chef yang lebih tua daripadanya? Mereka yang menyaksikan episod itu pasti akan rasa macam nak tampar muka si Zain tu. Tak cukup dengan itu, dengan penuh biadapnya dia mencelah (bahasa pasar: menyampuk) salah seorang chef yang sedang memberi maklum balas terhadap pendapat Zain itu. For me, that's way beyond the limit. 
Ternyata, 'tagline' rancangan ini iaitu "Bila dapur panas, watak lain jadi jelas" ada benarnya. Zain menunjukkan kerendahan budi bahasanya apabila beratitud sedemikian. Di manakah letaknya prinsip Rukunegara yang ke-5 (kesopanan & kesusilaan) dalam dirinya? Jika nak luahkan pendapat sekali pun, lakukanlah secara berhemah & beradab.. bukannya dengan membiarkan ego menguasai diri hingga lenyap rasa #Respect terhadap mereka yang veteran. Mencelah cakap orang tua adalah antara perbuatan yang menyalahi norma budaya masyarakat Melayu terutamanya.
Mungkin kalau saya bercoret panjang pun, anda takkan faham cerita sepenuhnya. So, apa kata anda klik di sini untuk melihat video berkaitan. Nilaikan sendiri tindak-tanduk Zain itu. Apa yang penting, saya akan rasa ragu-ragu untuk menonton Oh! My English selepas ini. Zain berlakon sebagai Henry Middleton (guru bahasa Inggeris), tapi dia pula yang tak #Respect guru-gurunya di dapur Masterchef. Terlalu kontra wataknya di situ.

#3
Kisah yang positif pula. Lihat keratan akhbar Berita Harian edisi 2 Mei 2013 ini. Wah, pasangan yang berusia 100 tahun & tak pernah terlepas walau satu pun Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini. Memang saya #Respect dengan sikap tanggung jawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang sebenarnya. Bukan senang nak jumpa individu sebegini. Ada antara golongan sebaya mereka yang sudah tidak mampu untuk keluar mengundi atas faktor usia. Namun Alhamdulillah, Pak Wan Awang & isterinya masih diberikan kekuatan untuk membuat tanda pangkah untuk kali ke-13 pada 5 Mei ini.
Jadi, jika Pak Wan Awang yang sudah sekurun hidup di bumi Malaysia ini tak sabar untuk memangkah pada PRU13, maka sepatutnya tiada alasan remeh yang diberikan oleh pengundi muda (lebih-lebih lagi mereka yang mengundi buat pertama kali) untuk tidak hadir menunaikan kewajipan pada negara. Masa hadapan negara bergantung kepada tanda pangkah itu. Silalah #Respect peluang yang diberi untuk menjadi 'raja kepada pemerintah'. Malaysia Memilih. (dah macam iklan Astro Awani pula.. :-P)

Wau, panjang lebar berbicara. Apa-apa pun, saya ingin mengingatkan anda semua & diri saya sendiri (ayat tipikal semasa khutbah Jumaat.. :3) agar kita ambil iktibar daripada corat-coret saya ini; yang baik jadi teladan & yang buruk jadi sempadan. Mungkin anda juga boleh kongsikan kisah #Respect mengikut perspektif anda di ruangan komen. Yalah, boleh kita sama-sama kongsi ilmu, kan?
To end my story, fikir-fikirkan:
"Jika kita ingin berbuat sesuatu yang buruk terhadap seseorang, adakah kita bersedia untuk diperlakukan dengan cara yang sama?"

Ladies & gentlemen, Syafiq has left the building. Wassalam.