Isnin, 9 September 2013

AF = Alternatif Fulus?

"Akademi Fantasia kembali lagi untuk musim ke-10!"

Err, who cares about that?

Rancangan realiti pertama di Malaysia ini muncul semula setelah kononnya ditamatkan sendiri oleh Astro pada 2011 (musim ke-9). Kembalinya AF membuat saya tertanya-tanya rasional sebenar yang ingin dizahirkan oleh pihak Astro.
Bukan apa, rasanya ada peserta AF musim pertama (pada 2003) yang masih belum memiliki album lagu solo sendiri; inikan pula peserta yang baru selesai musim ke-8 dan 9. Memang diakui AF pada awal kewujudannya merancakkan lagi industri muzik negara. Namun dalam konteks hari ini, sudah hampir ketara bahawa AF sudah tidak relevan sebagai platform mencari pelapis nyanyian.

Nak cari potensi baharu dalam seni suara? Pergi saja ke YouTube. Yuna, Najwa Latiff & Tasha Manshahar adalah antara individu yang tidak perlu menyertai AF untuk mempopularkan bakat. Mereka cuma memuat naik persembahan mereka di YouTube, & tak lama selepas itu ramai yang menontonnya. Tidak perlu untuk diadakan semula AF kerana rasanya ramai yang dah tak minat dengan spesis rancangan seperti AF, selain daripada kebimbangan awam tentang impak negatif terhadap sosialisasi anak-anak muda.

Perspektif saya mengandaikan bahawa besar kemungkinan AF ini dibuat semula sebagai sumber untuk mengukuhkan kewangan Astro. Hakikat bahawa tidak relevan langsung AF sekarang ini mengukuhkan lagi anggapan bahawa AF berperanan sebagai 'penjana wang' bagi Astro, melalui tajaan korporat & hasil undian orang ramai. Saya tak faham; tidak cukupkah dengan hasil undian melalui Super Spontan 2013 (which by the way, is so BORING in terms of the emcees handling the show)? Sebelum ini pun rancangan francais Raja Lawak sentiasa memenuhi jadual penyiaran Astro. Takkanlah masih tak cukup kekayaan yang dijana melaluinya?

Kepada Astro, cukup-cukuplah menjahanamkan anak muda kita. Hentikanlah Ceria Popstar & Ceria Superstar (di Astro Ceria) yang awal-awal lagi mengajak kanak-kanak untuk menjadi artis mi segera kelas bawahan. We (the Malaysians) have had enough of such shows. It's not entertaining, but degrading the mentality of our youngsters. Tolonglah.

BTW, saya ada menonton seketika konsert pengenalan (BI: prelude) AF 10 yang dihoskan Zizan baru-baru ini. First of all: Zizan? Ini AF, bukan Raja Lawak. Secondly, rata-rata persembahan pada malam itu hampir langsung tak menyamai standard AF sebelum ini. OK, mungkin saya bukan pakar dalam bidang vokal, tetapi jika dah jelas & terang suaranya sumbang, di mana letaknya standard Astro dalam memilih peserta AF?

~Pasti berjaya di Akademi Fantasia...!~
Berjaya ker? :P

Seikō, Kanashimi, Yume


Melihat kepada imej-imej di atas, rasanya sudah mampu anda fahami akan apa yang ingin dibicarakan kali ini. Segala persoalan sejak 2-3 tahun yang lalu terjawab sudah di Buenos Aires pada 7 September baru-baru ini. Persaingan daripada tiga bandar raya untuk mendapatkan hak penganjuran Sukan Olimpik pada tahun 2020 menyaksikan bidaan oleh Tokyo berjaya mengatasi Istanbul dan Madrid untuk bergelar kota pertama di Asia untuk menjadi hos Olimpik sebanyak 2 kali (kali pertama ialah pada 1964).

Secara sepintas lalu (berdasarkan apa yang saya ingat melalui Discovery Atlas), Tokyo yang menjadi ibu negara Jepun sejak abad ke-17 merupakan metropolitan terbesar di dunia, dengan menjadi tempat tinggal kepada 35 juta orang; lebih banyak daripada keseluruhan populasi Malaysia (28 juta). Jepun secara amnya merupakan antara peneraju utama dalam pelbagai bidang di Asia. Cuba bayangkan, perkhidmatan kereta api laju (a.k.a. shinkansen) di negara itu amat efisien - dalam setahun, jadual ketibaannya di setiap stesen hanya tersasar sebanyak 36 saat.

Ketika tempoh pemilihan dijalankan, ketiga-tiga kota itu berdepan krisis tersendiri. Sepanyol masih dibelenggu kemelesetan ekonomi & penggangguran melampau; Turki berhadapan dengan penunjuk perasaan jalanan & ancaman perang saudara negara jirannya Syria; Jepun mengalami masalah dengan pencemaran radiasi Fukushima yang sudah merebak ke sekitar lautan Pasifik. Jadi, apa rasionalnya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memilih Tokyo?

Jika dilihat secara kasar, Madrid mungkin pilihan yang paling sesuai kerana ia menjanjikan sukan Olimpik yang 'termurah pernah diadakan' & jaminan bahawa sukan itu akan dapat membantu menamatkan masalah pengangguran Sepanyol. Namun, adalah terlalu awal untuk Olimpik kembali ke benua Eropah selepas London 2012. Bagi Istanbul pula, tawaran untuk mengadakan Olimpik pertama di dua benua serentak amat menarik, ditambah pula dengan kemungkinan Turki menjadi negara majoriti Islam pertama menjadi hos. Namun, keadaan semasa amat tidak memihak Istanbul, dek kerana konflik di Syria yang bersempadan dengan Turki di bahagian tenggara, serta ketidakcekapan polis menangani para pemprotes jalanan baru-baru ini.

Oleh itu, IOC dilihat memilih jalan selamat dengan meletakkan Tokyo sebagai pemenang, setelah PM Jepun (Shinzo Abe) secara peribadi memberi jaminan bahawa isu Fukushima akan diatasi segera & tidak akan mengganggu persiapan Olimpik kelak. Sejujurnya, saya memihak kepada bidaan Istanbul kerana mutakhir ini, banyak sekali paparan tentang kota itu di kaca TV (not to mention Istanbul Aku Datang also) & juga keunikan idea tentang Olimpik di 2 benua, tetapi isu keselamatan terkini menjadi liabiti utama bidaan tersebut. Jadi, saya terima hakikat bahawa Olimpik pada 2020 akan berada di bumi matahari terbit.

Kalau diikutkan, 2020 akan menjadi tahun Malaysia dijangka menjadi maju, sejajar dengan Wawasan 2020, hasil ilham Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1990. Jadi, amat signifikan rasanya andai Olimpik itu dapat dibawa buat kali pertama ke Asia Tenggara melalui Kuala Lumpur (KL). Idea penganjuran Olimpik pernah dinyatakan kepada umum, namun terhenti begitu sahaja. Saya juga turut terkesan dengan idea itu, sehingga pernah mereka logo bagi bidaan KL ke Olimpik 2020.
Logo ciptaan sendiri; diinspirasikan oleh Menara Berkembar Petronas & warna-warna rasmi Olimpik

Moving on. Ketika sesi di Buenos Aires juga, 1 daripada 3 sukan dipilih untuk ditambah ke Olimpik 2020 dan 2024. Gusti, skuasy & sofbol/besbol bersaing untuk menjadi sukan ke-26 disenaraikan. Akhirnya, gusti dipilih untuk dimasukkan semula, setelah pada mulanya disingkirkan pada Februari lalu. Keputusan ini amat mengecewakan dunia skuasy, lebih-lebih lagi buat juara dunia & kali, Datuk Nicol David yang berhempas-pulas mempromosikan skuasy untuk berada di dalam suasana Olimpik.
Bagi saya, andai gusti sudah menjadi acara tetap sejak permulaan Olimpik moden pada 1896, mengapa disingkirkan pada mulanya & kemudian dimasukkan semula? Ia menutup ruang bagi sukan lain terutamanya skuasy untuk mendapat tempat di arena Olimpik. Skuasy merupakan pintu utama bagi Malaysia untuk merasai kilauan emas pertama dalam Olimpik. Nampak gayanya, pintu itu akan terus tertutup untuk beberapa tahun akan datang.

Sudah pasti kegembiran, kesedihan & impian di sebalik semua ini adalah hak masing-masing untuk dipendam atau pun dizahirkan. Apa yang pasti, kehidupan akan berjalan seperti biasa, kecuali bagi penduduk di Tokyo pada tahun 2020 nanti.

Apa-apa pun, sukan itu baik untuk kesihatan. Batul tak?
Konichiwa Tokyo. 2020-Nen ni o ai shimashou! (^_^)V

Ahad, 1 September 2013

They Can't Stop

It’s our party we can do what we want
It’s our party we can say what we want
It’s our party we can love who we want


Baiklah, saya pasti anda tertanya-tanya apa yang saya cuba sampaikan menerusi ungkapan di atas ini, bukan? Namun sebelum merungkai dengan lebih dalam ungkapan itu, izinkan saya membawa anda meninjau polemik yang semakin meruncing nun jauh di ufuk barat Asia. Disebabkan kekompleksan (BI: complexity) isu-isu yang berkaitan, saya akan cuba menyelaminya mengikut kefahaman yang saya ada.

Krisis politik yang berlaku di Mesir sudah bertambah parah, sehinggakan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana terpaksa dibawa pulang & mengambil peperiksaan di sini. Melalui perspektif saya, semua ini berpunca daripada kedengkian pihak tertentu yang terancam dengan usaha presiden negara itu, Dr. Muhammad Morsi dalam mengutuhkan prinsip Islam dalam pemerintahannya. Proses pilihan raya umum yang mengangkat kemenangan parti Ikhwanul Muslimin pimpinannya diketepikan semata-mata bagi memenuhi agenda golongan anti-Morsi (yang saya tidak ketahui sangat agendanya itu).
Namun, besar kemungkinan ia ada kaitan dengan kepentingan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu, ditambah pula dengan status negara itu sebagai antara pintu masuk utama ke Palestin yang ingin sekali ditawan oleh rejim Zionis. Jadi, mesti susah bagi AS untuk menyebarluaskan pengaruh mereka andai individu yang memimpin Mesir menyanjung tinggi nilai-nilai Islamik dalam kebanyakan masa. Sudah terang lagi bersuluh, mungkin?


Krisis yang satu lagi ini lebih kepada mencabar nilai-nilai kemanusiaan. Entah apa yang dah merasuk fikiran presiden Syria, Bashar al-Assad untuk menghapuskan penduduk negara itu dengan bermacam cara yang tidak munasabah & menyasarkan golongan tidak sepatutnya. Berdasarkan pemerhatian & pemahaman sendiri, saya melihat bahawa kedurjanaan itu dibuat bagi mengekang kemaraan mana-mana pihak yang cuba menggulingkan kerajaan ala-ala diktator pimpinan beliau. Kekejaman itu lebih nyata apabila golongan wanita & kanak-kanak menjadi mangsa serangan kimia daripada pihak tentera (which makes no sense AT ALL).
Dalam hal ini pula, kerajaan AS di bawah teraju Barack Obama berkira-kira untuk melakukan serangan terhadap pihak tentera Syria, dengan hujah bahawa kezaliman yang menimpa rakyat di sana perlu dihentikan 'dengan apa cara sekali pun'. Namun, isu yang berlaku di Syria adalah bersifat dalaman & tidak perlu rasanya campur tangan luar, tetapi AS seperti biasa sentiasa berasa teruja untuk memenangi permainan 'perang-perang' ini.

Baiklah, berbalik kepada ungkapan yang anda baca di awal 'blog post' ini. Itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada lirik lagu We Can't Stop nyanyian Miley Cyrus. Kejap, apa kaitan si Miley ini dengan isu di Asia barat? Dari segi tumpuan masyarakat antarabangsa, memang ada kaitan.


Ketika rakyat Syria (terutamanya) masih huru-hara akibat kedajalan al-Assad & ditambah pula dengan serangan gas kimia, nama Miley Cyrus tiba-tiba menjadi bualan hangat. Semuanya gara-gara persembahan '18SX'nya sewaktu Anugerah Video Muzik MTV 2013 baru-baru ini. Kolaborasinya dengan Robin Thicke di pentas Barclay's Centre, New York dikritik, dikutuk & dikecam teruk kerana penonjolan elemen seksual yang keterlaluan bagi sebuah acara yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia, serta ditonton oleh kanak-kanak.
Apa signifikannya insiden ini? Disebabkan aksinya itu, hampir seluruh dunia memberi fokus kepada kelakuan tidak senonoh Miley sehingga memudarkan isu Syria & Mesir yang berlaku dalam ruang lingkup masa yang hampir sama. Ia seakan-akan suatu lencongan (BI: diversion) agar orang ramai tidak terus membicarakan perihal di Timur tengah itu. Nampak tak permainannya di situ?

Lirik yang ada di awal artikel ini sesuai sebagai simbolisme situasi ini. Kerajaan AS (termasuk Miley Cyrus) menganggap bahawa dunia ini adalah sebuah acara parti milik mereka, & itu menjadi lesen untuk berbuat apa sahaja, berkata apa sahaja, & mencintai apa sahaja yang dimahukan (dalam hal ini, mencintai kuasa mutlak terhadap dunia, kononnya).

Namun secara keseluruhannya, saya tidak kisah. Bukan tidak kisah dengan isu di Syria & Mesir, tetapi dengan gelagat kerajaan AS.
Kenapa? Sebabnya ialah kita dapat melihat - seperti juga Miley Cyrus di VMA 2013, kerajaan AS tanpa segan silu telah menunjukkan kesewelan minda mereka untuk tatapan global. Mereka mahu satu dunia tahu bahawa mereka tidak akan berhenti menjadi sewel.

Kesian.

Sabtu, 31 Ogos 2013

Tanah Airku

Engkau tanah air
Pemilik perut yang berbudi
Penampung hujan penyedut sinar mentari
Lahirlah anakmu dari semaian petani.

Engkau ibu murni
dengan jasa abadi
berdetik di denyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai.

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati.

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan.

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan.

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari tuhan.

(Allahyarham Datuk Usman Awang, 1956)


Salam Kemerdekaan ke-56.
~Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku~

Rabu, 28 Ogos 2013

Apa Itu Patriotik?

Apa itu patriotik, sebenarnya?
Mengibarkan Jalur Gemilang bila tiba masanya? Pergi ke Dataran Merdeka pada 31 Ogos? Menghafal lirik lagu Keranamu Malaysia?

Sesi diskusi ringkas bersama seorang rakan baru-baru ini memberi peluang untuk saya memperincikan maksud 'patriotik' itu menurut perspektif sendiri. Keprihatinannya terhadap pemahaman saya kepada istilah itu amat dihargai. Apa yang penting, idea masing-masing tetap dihormati walaupun berbeza.

Menurut kamus Dewan Edisi ke-4, 'patriotik' bermaksud bersifat sebagai patriot (orang yang mencintai & mempertahan kedaulatan negara). Jika dilihat seimbas lalu, maksudnya itu seakan-akan merujuk kepada anggota keselamatan seperti polis & tentera. Namun, kita semua sebenarnya mampu menzahirkan sifat seorang patriot dalam cara yang berbeza.

Patriotik mengikut definisi saya sendiri ialah menghargai, menyanjung & mempertahan kepelbagaian budaya & identiti yang ada di Malaysia; dalam masa yang sama memastikan kepelbagaian itu disertai dengan rasa hormat yang mutual antara satu sama lain. Selain itu, patriotik itu adalah sentiasa mengangkat martabat jati diri saya (sebagai seorang Muslim, Melayu Johor, & rakyat Malaysia) serta memastikan perkara tersebut sentiasa terjaga daripada sebarang anasir hedonisme yang datang dari luar.

OK, mungkin ada yang akan berkata bahawa saya ada semangat kenegerian bila menyentuh tentang Melayu Johor. Ya, saya mengakuinya. 17 daripada 19 tahun dalam kehidupan saya adalah di Johor. Jadi, amat mustahil untuk saya menidakkan semangat itu. Irama ghazal & zapin sudah lama bersebati dalam jiwa saya. Setiap kali tiba Hari Raya, pakaian yang saya akan pakai ialah busana ala Johor (baju Melayu teluk belanga, sampin yang berlainan warna, & seluar slack).Kenapa? Kerana itulah yang saya panggil 'jati diri', & justeru dapat saya klasifikasikan sebagai 'patriotik'; sentiasa berasa bangga dengan jati diri kita sendiri.

Namun begitu, saya sentiasa mendidik diri sendiri untuk tidak terlalu berlebihan dalam bersemangat sedemikian, kerana pada akhirnya saya merupakan warganegara Malaysia. Ada 13 negeri & 3 Wilayah Persekutuan. Ada lebih 80 suku kaum. Saya menerima & manghargai variasi tersebut. Mungkin ada yang lebih baik daripada yang lain, tapi kita semua tinggal di dalam rumah yang sama, & berteduh di bawah panji yang sama.

Hormat-menghormati & toleransi. Bagi saya, dua elemen ini merupakan ramuan perdana dalam menjadikan segenap strata mujtamak di bumi bertuah ini bersepadu menjadi suatu entiti komuniti yang diangkat sebagai visi & mimpi kepada sebilangan negara lain di seantero dunia ini. Andai anda dapat menghidupkan nilai sedemikian dalam kehidupan seharian sebagai 'orang Malaysia', saya ucapkan tahniah. Anda sudah pun menjadi seorang yang patriotik.

Sebenarnya istilah patriotik ini adalah pelbagai dari segi maksud & tafsirannya. Terpulang kepada kita dalam bercakap mengenainya, memahaminya, & menghayatinya dengan mendalam. Patriotik tidak perlu hadir hanya ketika bulan kemerdekaan sahaja. Ia boleh dijelmakan pada bila-bila masa. Jadi, soalan saya kepada anda yang sedang meneliti coretan ini:
"Apakah 'patriotik' menurut perspektif anda?"
Luahkan idea & pandangan anda di bahagian komen. Tiada salahnya berkongsi luahan minda, bukan?

Saya tinggalkan anda dengan iklan Merdeka & Hari Malaysia 2013 terbitan Petronas yang menjadi bualan hanagt ketika ini. Adakah mesejnya menjurus ke arah patriotisme? Adakah ia mencetus rasa patriotik dalam diri anda? Adakah anda kenal sesiapa yang berada di dalam iklan ini? Fikirkanlah sendiri. :-)


Ladies and gentlemen, Syafiq has left the building. ;-D